Jumaat, 23 Mei 2008

Seruan kepada mereka yang memiliki kesedaran

Manusia seolah-olah sudah lali dengan perkara-perkara yang sering mereka temui setiap hari. Apabila manusia pertama kali mendengar sesuatu berita tentang kekejaman yang berlaku, mereka menjadi begitu prihatin. Namun demikian, keprihatinan mereka itu hanya menjadi suatu perkara rutin tidak berapa lama kemudian.
Peperangan dan konflik yang berlaku di dalam dunia yang sedang kita diami ini adalah kes yang paling jelas dan nyata. Apabila sesebuah negara dijajah dan kemudian proses penyembelihan dan genocide (Pent: Tiada terjemahan tepat untuk perkataan genocide, maka istilah ini dikekalkan. Genocide ber­maksud pembunuhan seluruh bangsa atau kaum yang tertentu) bermula, kita akan dapat melihat banyak protes-protes anti-kekejaman yang diadakan di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh, mari kita merenung semula detik-detik pertama tercetusnya konflik di Bosnia, ataupun Chechnya, ataupun Palestin... Imej seorang kanak-kanak Palestin yang berada di riba ayahnya yang tidak lama selepas itu menjadi sasaran peluru askar-askar Israel, bayi-bayi Chechen yang dibunuh ketika mereka sedang lena diulit mimpi, wanita, golongan tua dan kanak-kanak yang menjadi mangsa genocide yang sangat mengerikan di Bosnia...
Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang bertali-arus, yang tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak sewenang-wenangnya ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak periuk api... Walau bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka lebih suka membaca gosip-gosip artis berbanding berita-berita peperangan. Oleh sebab itulah, kematian manusia yang berlaku di Palestin, Chechnya, Kashmir ataupun Timur Turkistan hanya sekadar menjadi suatu “berita rutin.”
Tambahan pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan kebuasan-kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik sahaja. Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap sebagai urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah suatu perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel dan Palestin, dan penekanan puak Hindu ke atas penduduk Kashmir sebagai masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu. Memang benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Namun demikian, faktor-faktor dalaman dan ekonomi bukanlah satu-satunya penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang dideritai oleh umat Islam di rantau Balkan yang dilakukan di hadapan mata penduduk dunia. Di dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan dapat melihat bahawa konflik-konflik yang tercetus itu adalah disebabkan identiti umat Islam itu sendiri.
Mereka dihimpit dengan berbagai-bagai bentuk penindasan kerana mereka adalah golongan yang beriman kepada Allah dan mahu hidup dengan berlandaskan Islam, dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang-orang yang beriman juga. Kewujudan negara-negara kuat yang mementingkan nilai-nilai spirituil atau sebuah liga Islam yang kuat yang akan melindungi hak-hak umat Islam seadil-adilnya, telah menimbulkan ketakutan kepada golongan-golongan tertentu di Barat dan juga telah menimbulkan ancaman terhadap kepentingan pihak-pihak tertentu.
Aspek lain tentang hal ini ialah terdapat sesetengah manusia yang tidak mengetahui apa-apa pun tentang masyarakat yang hidup di negara-negara tersebut, dan malah tidak pernah mendengar sama sekali nama negara-negara itu. Situasi bagi seseorang yang tidak memiliki sebarang idea tentang kepayahan, penindasan, kekejaman, kebuluran, dan kemiskinan yang dideritai oleh umat Islam Sudan, Algeria, Indonesia, Myanmar, Djibouti dan Tunisia sebenarnya memerlukan suatu “makanan” untuk mengisi minda mereka. Ada juga segelintir manusia yang menyedari kekejaman dan ketidakadilan tersebut. Namun dia tidak mencuba untuk menghulurkan sebarang bantuan ataupun berusaha untuk menghentikan penindasan tersebut. Tambahan lagi, mereka sungguh yakin bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa, malah laporan-laporan yang dibaca dan imej-imej kekejaman yang dilihat menerusi televisyen tidak dapat menyedarkan mereka walaupun sedikit.
Seseorang yang benar-benar beriman, walau bagai­mana­pun,bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar. Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran:

Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: “Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.” (An-Nisaa’, 75)

Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa mereka, dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokkan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran. Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar di atas bahu mereka: iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan keindahan-keindahan yang dibawa olehnya, menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran, dan melancarkan peperangan ideologi kepada golongan ateis... (Pent: iaitu golongan yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan)
Sesiapa yang mengambil tugas mulia tersebut akan dapat membebaskan semua insan yang hidup di bawah penindasan dengan bantuan petunjuk al-Quran:

...Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)

Tujuan utama penulisan buku ini adalah untuk mendedahkan penderitaan umat Islam yang tidak berdosa di serata dunia, dan juga untuk menyeru mereka yang berkesedaran untuk memikirkan tentang situasi tersebut dan seterusnya mencari jalan penyelesaiannya. Ini bukan masanya untuk kekal membisu, bersifat tidak kisah, mengejar kesenangan kecil dunia ini, dan membuang masa dengan perdebatan dan pertengkaran yang sia-sia. Ketika berjuta-juta umat Islam menderita disebabkan oleh kekejaman dahsyat tersebut, kita adalah manusia yang tersangat-sangat mementingkan diri sendiri jika enggan memikul sebarang tanggungjawab untuk menegakkan agama Islam. Tidak menjadi satu keraguan bahawa perbuatan tersebut hanya menyebabkan kita menerima akibat yang pedih di akhirat nanti.

Jumaat, 16 Mei 2008

AKU, KAU BERBEZA...AKU, KAU ISTIMEWA...

LELAKI
Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.
Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN??


Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu.

Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung.
Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana banyak benda nak kena fikir, dan kata orang la...tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung.
Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.

WANITA :

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki.


Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.
Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.


Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya . Bukankah ibu adalah seorang wanita ?


Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya , manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.


Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).


Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabk an terhadap 4 wanita :
1. ibunya ,
2. isterinya ,
3.anak perempuannya , dan
4. saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini :
1. suaminya,
2. ayahnya,
3. anak lelakinya dan
4. saudara lelakinya .

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja :
1. sembahyang 5 waktu
2. puasa di bulan Ramadhan
3. taat suaminya dan

4. menjaga kehormatannya .

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.
MasyaALLAH.. .sayangnya ALLAH pada wanita ....


Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki , tetapi ingatlah wahai lelaki...kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin...maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya. ..supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA..

"Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan
segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.(Ali- Imran:103)

Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri "

Teknik Sujud Sahwi

Masaalah

keadaan

Tempat sujud

1

Pengurangan: solat tidak cukup rakaat kerana terlupa

Jika teringat setelah berlalu tempoh waktu yang lama, hendaklah dimulakan solat dari awal (mengulanginya), jika teringat dalam tempoh waktu yang pendek seperti 5 minit, hendaklah menyambung rakaat yang tertinggal dan member salam.

Kemudian lakukan sujud sahwi 2 kali dan member salam

2

Penambahan: menambah sesuatu dalam solat samada menambahkan qiyam (berdiri), duduk, rukuk atau sujud

Jika teringat selepas solat, hendaklah dia sujud sahwi, jika teringat ketika melakukan kesalahan tersebut, wajib dia kembali kepada perbuatan yang sepatutnya.

Sujud sahwi selepas salam dan memberi salam lagi macam biasa.

3

Meninggalkan rukun solat: jika tertinggal salah satu rukun solat selain takbiratul ihram kerana terlupa

Jika sudah sampai ketempat yang tertinggal rukun itu pada rakaat yang berikutnya, maka rakaat yang tertinggal salah satu rukun itu tidak dikira, maka rakaat yang selepasnya itu dikira sebagai rakaatnya. (rakaat yang tertinggal rukun). Jika belum sampai ketempat yang tertinggal rukun, wajib kembali ketempat rukun yang tertinggal itu dan laksanakan rukun yang tertinggal itu dan perkara-perkara selepasnya.

Wajib sujud sahwi selepas salam

4

Syak/ragu didalam solat: jika syak atau ragu bilangan rakaat, apakah 2 atau 3 rakaat, terdapat dua keadaan

  • Lakukan tarjih antara dua keadaan itu, ambil yang lebih rajih dan sempurnakan solat
  • Mentarjih salah satu dari dua keadaan itu dan mengambil bilangan yang lebih sedikit lalu menyempurnakan solat

Keadaan pertama sujud selepas salam

Keadaan kedua sujud sebelum salam

5

Tertinggal tasyahhud pertama: jika tertinggal tasyahhud awal kerana terlupa, dan semua perkara-perkara wajib yang tertinggal kerana lupa di dalam solat sama seperti hukum meninggalkan tasyahhud awal

  • Jika terlupa terus sehingga sudah berdiri pada rakaat berikutnya, maka tidak perlu kembali melakukan tasyahhud awal.
  • Jika teringat selepas bangun tetapi belum sempurna berdiri, maka hendaklah kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awal.
  • Jika teringat sebelum bangun, iaitu sebelum berpisah dua paha dari dua betis hendaklah terus duduk dan melaksanakan tasyahhud awal dan tidak ada sujud sahwi

Sujud sahwi sebelum salam

Rabu, 14 Mei 2008

Rehatkan minda






PART I
Cikgu Berahim sedang mengendali kelasnya dalam aktiviti sukan di padang sekolah. Seperti biasa, Cikgu Berahim akan menyuruh murid²nya melakukan regangan otot. Tiba di satu bahagian, dimana murid² baring dan mengangkat kaki lalu menggerakkannya seperti sedang mengayuh basikal. Cikgu Berahim asyik memerhati seorang muridnya yang pada mulanya menggerakkan kakinya tiba² memberhentikan kakinya. Lalu Cikgu Berahim menyergah muridnya yang bernama Man Dol.

"Woiiii Man, apa sebab kau berhenti ni hah".
"Oh Cikgu Berahim, basikal saya tengah turun bukit Cikgu, sebab tu saya berhenti.Takkan nak kayuh jugak.


PART II
Waktu sekolah telah tamat.sebelum keluar kelas, Cikgu Berahim telah bertanya kpd murid²nya.
Cikgu : Siapa nak masuk/pergi syurga? Semua murid mengangkat tangan kecuali Man Dol lalu Cikgu Berahim pun bertanya,
Cikgu : Man, kenapa awak tak nak pergi/masuk syurga?
Man : Mak saya kata lepas habis sekolah, terus balik rumah.. jangan pergi mana-mana.


PART III
Cikgu Berahim sedang mengajar Bahasa Melayu dalam kelas 1 Mawar...
Cikgu : Man, boleh kamu buat ayat dengan menggunakan perkataan tepong?
Man : Itu senang saja cikgu.. ayatnya ialah..... emak sedang membuat kek didapur.
Cikgu : Mana tepungnya??
Man : Tepong kan ke dalam kek tu.... Cikgu nie tak sekolah ke hape??


PART IV
Seperti biasa, Cikgu Berahim nie mengajar pelajar di Sekolah Agama. Cikgu Berahim mengajar budak tahun satu. Pada hari tersebut, beliau mengajar bab"cara berwudhuk"Selepas mengajar, beliau (Cikgu) selalu meminta muridnya bertanyakan soalan jika terdapat kemusykilan.
Cikgu : Ada sesiapa hendak bertanyakan soalan? Tiba² seorang anak muridnye mengangkat tangan, nama murid tu adalah Man Dol. Man : Ada Cikgu. saya ada satu kemusykilan. Boleh tak kita ambil wudhuk dua kali?
Cikgu : Boleh, tapi kenapa sampai dua kali ambil wudhuk?
Man : Saya ambil dua kali sebab kalau saya terkentut, wudhuk lagi satu tu boleh buat spare part!
Cikgu : Allahhuakbarr! !!


PART V
Cikgu Berahim: Joe, cuba terangkan apakah tugas akar pokok pisang?
Joe : Untuk mencari makanan, Cikgu
Cikgu Berahim: Bagus! Sekarang giliran Wati pulak. Apakah tugas batang pokok pisang?
Wati : Untuk membawa makanan yang dicari akarnya, Cikgu
Cikgu Berahim: Bagus! Sekarang giliran Man Dol pula. Apakah tugas daun pisang?
Man Dol :untuk membungkus nasi lemak, Cikgu...
Cikgu Berahim: uii... lagi bagus.... berdiri atas meja sampai habis kelas..

Tips memilih tong gas

Ramai kat luar sana yang tak tahu. Saya tahu pun dari stokist gas sebab ada insiden yang berlaku. Selinder gas yang dah expired tidak selamat diguna dan boleh menyebabkan accident. So hati-hati bila menerima selinder gas dari penjual gas.
Di sini caranya bagaimana memeriksa selinder gas LPG :
Di salah satu sisi selinder gas expiry date akan dikodkan secara alpha-numerical seperti berikut;

A ,
B , C atau D diikuti dua digit, contohnya D06. Huruf bermaksud suku ke berapa dalam satu tahun -



A utk March
( Suku pertama ),
B
utk June (Suku kedua ),
C
utk Sept ( Suku ketiga ), &
D
utk December ( Suku keempat ).

2 digit itu pula menunjukkan sehingga tahun berapa selinder itu selamat digunakan Jadi
D06 bermaksud selamat digunakan sehingga December 2006.

Selasa, 13 Mei 2008

kami balik pada hari ibu

tepat jam 11.30 pagi sabtu (10/05/2008), setelah aku selesai menulis sebuah catatan tentang ibu (sempena hari ibu) dalam blog ini, aku menerima satu mesej dari abangku meli yang berada di kampung yang hingga kini masih sangat setia menjaga mak dan ayah. dalam mesej tersebut berbunyi "mak sakit, tangan tak boleh angkat dan tak boleh bergerak, baru balik dari hospital" dunia rasa berpusing-pusing. macam-macam muncul dalam kepala aku. apa yang aku tahu dalam bahasa yang tak sedap didengar adalah mak sedang mengidap penyakit strouk.
macam manalah agaknya keadaan mak, apa akan jadi kalau mak sakit, sape nak jaga cheik. macamana pulak meli nak menguruskan kehidupannya terpaksa menjaga cheik dan mak, anak-anaknya yang masih bersekolah dan sebagainya mula bermain dibenak fikiranku. aku terus telefon meli, katanya keadaan mak tak lah membimbangkan, doktor dah beri ubat untuk mencairkan darah yang mingkin tersumbat, katanya tangan mak dah nampak sedikit perubahan, boleh gerak-gerakkan jari. selepas itu aku terus menghubungi adik (salina) di Keramat AU, dan juga abah (abang sulungku). abah kata adik-beradik yang lain biarlah dia contact, tak lama aku berfikir, aku mengambil keputusan untuk balik, terus saja aku telefon kaunter bas mahligai dan al-hamdulillah kerani bas tersebut kata tiket untuk malam tu masih ada lagi. aku bergegas kesana dan dalam perjalanan abah telefon kata dia sedang bersiap-siap untuk balik bersama mail di kuantan.
Petang sabtu di pekan Tanjong Malim, bersama ani (isteri tersayang dan anak-anak muhammad syahmi zikri dan muhammad syazwi khuzami) untuk menaiki bas di terminal tanjong malim. sebelumnya sempat bersama-sama membeli belah di pasar malam TM. selepas tu ani dan anak-anak balik, tinggal aku sendiri untuk menaiki bas balik. tepat jam 8.20 bas bertolak. jam 3.30 pagi bas sampai di Terminal Bas dekat Pasar MPKB, sebelumnya aku dah telefon Mail untuk ambil aku. dalam 3.40 mail sampai dengan Pajero Seri. dalam kereta mail dah menceritakan pada aku serba sedikit keadaan mak, katanya setakat ni tak de apa-apa kot, sampai dirumah aku menemui mak, al-hamdulillah nampaknya aku dapat juga mencium tangan mak dan mak dapat mengangkat tangannya dengan baik walaupun mak kata masih terasa kebas. cheik sedang tidur ketika itu tapi bila terdengar suara aku berbual dengan mak, cheik terjaga dan aku segera bersalam dengan cheik.
pagi tu macam biasala aktiviti kami, apalagi orang kelantan yang tradisi sarapan paginya adalah makan nasi. aku kepasar minggu di kedai Wakaf Aik membeli nasi berlauk. Pagi tu kami bersama-sama makan. habis makan je kami dikejutkan oleh cheik dengan .... ha,ha,ha. tak boleh cerita, tapi aku yakin adik-beradik yang ada masa tu pasti akan ingat sampai bila-bila. tengahari tu aku, mail dan abah ke kota bharu cari tiket mahligai untuk balik lagi ketanjong malim malam tu jugak. Seri dok dirumah kejar ayam dengan hafiz untuk di masak gulai, kalau sebelum ni mak yang masak dan memang best sangat masakan mak terutama kalau masak gulai ayam kampung. tapi kini tugas tu diambil alih oleh kakti, memang pakar jugak la kak ti ni. tak sia-sia kakti dok belajar ngan mak. memang saling tak tumpah dengan masakan mak, petang tu kami makan memang kenyang betul la. kena pulak dengan gulai lemak ikan merah, budu dan ulam petai dan pucuk beko. memang berasap pedasnya.
petang tu aku, seri dan fiji diperintahkan pulak oleh mak kejar seko lagi ayam yang terlepas tadi, tanpa membantah, kata seri disebabkan hari ini adalah hari ibu, mak suruh lah ape je kami akan buat, nasib ayam tu memang tak baik kali ni, dia cuba menyorok disebalik panjangnya rumput dalam bendang depan rumah tapi berjaya dijejak oleh seri. apa lagi... sekali lagi malam tu kami dihidangkan pulak oleh kakti dengan gulai kereset ayam kampung, fuuuuhhh memang tiada tandingan.
malam tepat jam 8.45 malam aku bertolak baik semula ke tanjong malim, seri hantar aku ke terminal bas jalan hamzah selepas bersalaman dengan semua terutama dengan cheik dan mak, abang-abang dan semua anak-anak saudara. bas meninggalkan terminal tepat jam 9.35 malam bersama kenangan yang tak tahu bila lagi akan berulang. mungkin kepulangan kami sedikit sebanyak dapat mengubat rindu mak dan cheik pada kami, begitu juga kami, pastinya ingatan kepada mak cheik semakin menebal dalam memori kami.
terima kasih untuk semua, Abah, meli, Mail, Seri dan especially kepada kakti yang banyak membantu mak dan cheik, menjaga makan minum mereka berdua dan juga menyediakan makanan kepada kami semua. terima kasih sekali lagi. insyaallah kenangan yang sama pasti akan berulang lagi. byyeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee!

Sabtu, 10 Mei 2008

IBU

Ibu, aku tidak ingat betapa peritnya ibu sewaktu mengandungkan aku. Namun aku tidak lupa pada cerita ibu pada aku dan abang adikku. Sewaktu mengandungkan aku ibu sering mengidam dan selalu mabuk-mabuk. Ibu pernah muntah sampai peritnya tak mampu ditanggung oleh badan ibu yang waktu itu masih kekar dan sihat. Berhari-hari malah berminggu-minggu ibu kesakitan, waktu tu hospital bukalah pilihan utama untuk keluarga kami yang tinggal dipelusuk kampung. Tiada kemudahan dan kenderaan untuk ayah hantar ibu, ayah hanya mampu mencari bomoh dan bidan selain doa yang tidak pernah putus mengharapkan ibu akan kembali sihat.

Ibu, aku tidak ingat bagaimana sakit dan susahnya ibu melahirkan aku. Namun aku tidak lupa pada cerita ibu terhadap aku dan abang adikku. Selama tiga hari ibuku menahan kesakitan yang tak terkira untuk melahirkan aku. Ibu kata, biarlah umurnya sampai disitu pun ibu telah berserah, asal anak yang dikandungnya itu dapat dilahirkan dengan selamat, walaupun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri. Aku bukan anak sulung sehingga begitu susah hendak dilahirkan. Aku anak keenam dari tujuh adik beradik. Ibu sudah banyak pengalaman melahirkan anak, namun kenapa sangat susah dan sakitnya ibu ketika melahirkan aku. Kata orang mungkin anak engkau ni bawak tuah agaknya, walaupun ibu tahu kata-kata itu hanyalah sebagai motivasi penyejuk dan penenang hati ibu yang sedang kerisauan. Ibu tersenyum, mengharapkan kata-kata itu sebagai doa yang akan dimakbulkan bila-bila saja.

Ibu, aku tidak ingat setelah aku dilahirkan, betapa susahnya ibu menjaga aku, ayah bukanlah dari keluarga yang senang untuk mencari seorang bibit untuk menjaga makan minumku, jua tak ada orang lain yang mampu mengawal teriak tangisku. Kadang-kadang aku sendiri merasa malu dan tersipu-sipu kala ibu menceritakan aku sewaktu kecil sama dengan kisah P.Ramli dalam cerita Ahmad Albab. Selalu menangis. Kata ibu sampai mulutku jadi luka disebabkan terlalu kerap menangis. Pantang letak aje, aku akan menangis. Apa yang mampu ibu lakukan, padahal ayah sangat memerlukan bantuan ibu untuk mencangkul bendang dan menanam padi (sumber pendapatan keluargaku, selain dari tanaman lada dan sayuran lain) mau tidak ibu terpaksa menggendongku kemana saja ibu pergi, kadang-kadang aku diserahkan kepada kakak ku (Allahyarham). Kisah tangisku bukan sebulan, bukan setahun tapi bertahun-tahun. Namun aku tau ibu tetap cekal mengasuh aku sehingga aku kenal siapa diriku.

Ibu, aku jua masih belum mampu mengingati, satu masa ibu tidak mahu seorangpun anak ibu, yang tercicir dari pelajaran, kata ibu walaupun ibu terpaksa berhutang keliling pinggang, ibu akan tetap berusaha agar anak ibu tidak akan tercicir pelajaran. Kadang Jiran-jiran bersembang sesama mereka, berbincang tentang kerasnya hati ibu, berbincang tentang degilnya seorang surirumah yang tidak punya apa-apa tapi mempunyai cita-cita yang tinggi menggunung. Tak sedikit dari mereka yang mencemuh, tak kurang pula yang memperli dan mengata. Kadang-kadang ibu menangis dimalam hari, kemana hendak dicari wang pendaftaran sekolah anak-anak di awal tahun, bukan seorang anak, tapi tujuh orang, duit buku, duit harian, pakaian anak-anak kena beli juga. Kadang aku tersenyum sendiri mengingat tentang pakaian sekolah. Satu ketika musim buka sekolah kena pulak dengan musim raya, ibu kata nak jimat ibu akan beli pakaian sekolah untuk digunakan pada hari raya. Sedih ada jugak, tapi kadang ok la jugak, sebab dapat juga baju dan seluar baru, sebelum ni baju dan seluar sekolah yang abang punya. Itu pun dah bertampal dipunggung, sebab semakin lama semakin nipis digeser kerusi sekolah. Kawan-kawan mentertawakan aku, lantak la. Janji dapat pakai pakaian baru. Kasut sekolah pula kasut getah. Warna putih, tahan lama, tak mudah koyak. Stoking tak pakai. Bukan ape, senang kalau musim hujan boleh redah air banjir tanpa perlu bukak kasut. Macam cerita P.Ramli dalam musang berjanggut la. Nak basuh pun tak perlu pakai sabun pun.

Pernah satu ketika abang dapat panggilan untuk berkursus di maktab perguruan. Riuh rendah satu kampung bercerita anak ibu akan jadi seorang cikgu, masa tu cikgu tak macam sekarang, cikgu dipandang tinggi oleh masyarakat. Cikgu la segala-galanya. Kalau cikgu di calon sebagai wakil rakyat, agaknya tak susah cikgu nak dapat majority mudah. Mudir tempat abang belajar (Allahyarham Ustaz Mad Hasan) round seluruh masjid disekitar kampung mencanangkan pada masyarakat kampung anak murid dia dah dapat jadi cikgu. (iklan supaya masyarakat kampung hantar anak disekolahnya). Masa tu sape nak hantar anak ke sekolah agama. Ibu dan ayah menangis kegembiraan. Masyarakat ada yang datang mengucapkan tahniah, ada yang datang bertanya “ada duit ke nak hantar anak ke maktab?” tersentak ibu, rupanya disebalik kegembiraan yang ibu dapat itu, ibu akan melalui jalan yang sukar. Darimana ibu nak cari duit untuk menghantar anak pertamanya ini ke ruang pekerjaan. Ayah mula berfikir, kerja abang ini bagaikan perjudian hidup ayah. Kalau abang dapat jadi cikgu beban mungkin dapat dikurangkan sedikit. Walaupun bukan pembalasan yang diharapkan oleh ayah dan ibu dari abang.

Nun di bawah pokok manggis seekor kerbau jantan, yang sekian lamanya menjadi teman rapat ayah. Untuk menyiapkan sawah bendang, itulah harapan ayah, pernah satu ketika berlaku banjir besar dinegeri kami. Jarang orang yang lupa tentang banjir ini. Di saat rumah kami terkepung dek banjir besar masayarakat masing-masing mencari tempat tinggi dan kebanyakannya sudahpun berada di seberang sana, tanpa ayah sedar air dah mencecah lantai rumah, tiada jalan lain lagi, ayah terpaksa memikirkan cara bagaiman anak menyelamatkan kami sekeluarga. Kerbau kesayangan ayah itu lah tempat pergantungan ayah, kerbau berenang meredah banjir membawa ayah dan keluarga lainnya ketempat yang lebih selamat. Ayah sangat sayang kerbaunya itu. Namun kini, ayah kena buat pilihan, kerbau atau anak sulungnya. Ayah tekad, dengan harga berapa ratus RM sahaja ayah melepaskan teman rapatnya itu ketangan orang, sang kerbau pula memandang sayu dengan linangan air mata memandang ayah dan keluarga bagaikan mengerti betapa sebaknya ayah untuk melepaskannya. Dua tiga hari juga ayah tak dapat melelapkan mata mengingati nasib seekor teman rapatnya. Akhirnya abang dapat juga meneruskan pengajiannya demi mengharapkan kehidupan keluarga yang lebih baik dimasa akan datang. Sekali lagi ayah dan ibu terpaksa menangisi pemergian abang yang jauh lebih memeritkan dari perginya seekor teman rapat sang kerbau.

Ibu, di awal persekolahan, ibu sanggup menghantar aku ke sekolah setiap hari di awal pagi bukan dengan kereta sendiri, bas pun belum ada lagi dikampung kami. Tapi kita berdua berjalan kaki, ye lah sekolah pun bukan jauh sangat pun dari rumah Cuma 3 batu saja, tapi terpaksa meredah hutan dan kadang terpijak duri. kadang berbekalkan nasi bungkus daun pisang dengan berlaukkan ikan selar kuning goreng sudah cukup untukku mengalas perut sebelum cikgu berbaik hati untuk memberiku makanan tambahan dan susu segar setiap hari. Kadang-kadang tuan kantin (allahyarham pak man botak) memberiku makan percuma. Terima kasih pak man. Setelah aku mempunyai kawan, ibu tidak lagi menghantar aku kesekolah. Lagipun masa tu ibu sibuk nak jaga adik kecil ku pula (salina). Setiap hari dari tahun satu sampai tahun enam aku tak pernah dibekalkan dengan kenderaan untuk kesekolah. Aku dan kawan rapatku semasa dikampung, berjalan kaki saja setiap hari meredah rimba dan belukar (getoh mokngo) untuk bertemu dan bersama-sama kesekolah.

Ibu. Aku masih teringat satu ketika sewaktu besoknya akan menghadapi ujian penilaian darjah 5, aku terjatuh dari pokok jambu batu dirumah mak su munoh (allahyarham), tangan ku patah. Masa tu macam tarzan la, bergayut ke dahan itu bergayut kedahan sini, akhirnya kawan dibawah yang geram dengan aku di tariknya dahan kering tempat aku bergayut tu dengan galah, apalagi, terjelepuk la aku kat bawah) Ibu dan ayah membawaku kerumah bomoh di kampung limbat, pergelangan tanganku patah dan sendi sikuku terseliuh, besoknya dalam kesakitan ibu ku memapah aku ke kelas unutk menghadapi ujian. Ibu kata, cuba buat juga ujian penilaian itu sedaya upaya. Balik dari ujian ibu belikan aku sebungkus mamee. Dirumah Ttimah husin (allahyarham), di rumah ibu jaga makanan aku, banyak pantang larang yang tak boleh dimakan takut lambat sembuh dan tangan bengkak. Ikan kitam (ikan sungai yang macam ikan bawal warna hitam tapi berbintik-bintik, tak boleh makan, kacang bendi pun tak boleh makan sebab jenis yang berlendir. Ibu tak jemu memanggang ikan kembung garam kunyit untuk dijadikan lauk, itu je la yang boleh dimakan.

Ibu, dalam keadaan apapun jarang aku melihat air matamu tumpah didepan anak-anakmu, tapi satu ketika aku menyatakan hasrat kepadamu untuk mengaji di Pusat Pengajian Pondok, ibu terkejut! Apa tidaknya, sebelumnya aku macam pelesit dikampung. Tiba-tiba tanpa tawaran dan suruhan dari ibu aku nyatakan hasrat untuk mengaji di pondok. Lama ibu terdiam, dalam diam itu aku nampak ibu menangis, katamu dalam sendu“pergilah mengaji dipondok, mak sangat berbangga dapat anak seperti ki, (panggilan aku sewaktu usiaku kecil. Lama aku tak dengar ucapan sebegitu dari ibu). Cuma satu harapan ibu, agar di saat ibu sakit kalau dapat ki dapat membaca yasin untuk ibu pun cukuplah. Sewaktu ibu di dalam kubur ki dapat membacakan ayat-ayat suci al-qur’an dikuburan ibupun cukuplah. “insyaallah ibu” itu tekadku.

Ibu, tentu ibu masih ingat, Sewaktu di pondok aku terlibat kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawaku, sekali lagi ibu menangis keranaku. Walaupun selepas berlakunya eksiden itu, abang aku (Abang yang kedua, ramli) cuba untuk menembunyikan dari pengetahuan ibu, Cuma katanya, “mak, marzuki kat hospital,” ibu tanya “kenapa di hospital, apa yang berlaku! Demamkah, sakitkah, eksidenkah? Ketika itu ibu melihat air darah dari baju yang aku pakai yang dibawa balik oleh abangku diletakkan dekat telaga. Ibu Cuma beristighfar panjang, “ ya Allah! Apa dah jadi dengan anakku,” jom li, mak nak tengok. Aku terasa sangat bersalah kepada ibu kerana ibu terpaksa kesedihan disebabkan aku. Kemalangan itu cukup menguji aku, apa tidaknya kedua-dua belah mataku terpaksa di buat pembedahan, selama seminggu aku berada di dalam kegelapan, aku sedar ibu tak pernah berjauhan dari aku di kala itu. Setelah sebulan berada di HUSM aku diminta untuk meneruskan rawatan ke Kuala Lumpur untuk dirawat oleh pakar mata, seingat aku Prof Lai di HUKL, petaling jaya. Ibu meminta abang pertama ku, “abah” untuk menguruskan segalanya. Sekali lagi terima kasih yang tak terkira di ucapkan kepada abangku abah, sebenarnya semua yang terlibat la, abang-abangku semua sekalidan allahyarham kakak tersayang, meli, lijah, mail dan seri yang banyak berkorban apa saja untuk memastikan aku seperti sekarang ini. Orang kampungku juga yang datang melawat aku, terima kasih ku ucapkan, dengar kata memang ramai yang datang pada masa aku terlantar kesakitan di HUSM.

Ibu, setelah sekian lama aku berulang alik ke HUKL akhirnya aku dapat melihat kembali dunia yang indah ini dengan baik, walaupun tidak seindah dulu, namun aku tetap bersyukur, atas usaha, serta berkat doa dan harapan ibu disamping bantuan abang-abang aku dapat menjadi seperti seadanya ini. Tiada apa yang ingin dikesalkan, itulah takdir dari yang maha kuasa terhadapku.

Ibu, sekian harinya aku dapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke salah sebuah pusat pengajian tinggi di Nanggore Aceh sumatera barat, IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh. Untuk permulaannya ibu terpaksa memikirkan dan mencari jalan bagaimana dengan kos pengajian ku disana nanti, abangku abah berjanji dengan mak, dia yang akan menanggung beban pengajian selama aku belajar disana. Kakakku pula akan menanggung kos pemergian kesana. Pengorbanan mereka ini memang tidak dapat ku balas sampai sekarang. Namun berkat doa dan harapan dari semua ahli keluarga, hanya beberapa bulan selepas itu aku mendapat tawaran biasiswa dari MARA.

Ibu! Kudratmu kini tidak lagi sekuat dulu, kalau dulu ibu mampu menggendong anakmu ini walau di usia mencecah 20 an kerana sakit, namun kini ibu tidak mampu lagi, ibu terkadang rindu melihat sawah bendang dan kebun sayur yang menghijau, namun apakan daya, tenaga ibu tidak sekuat dulu lagi. Apapun ibu tetap berkhidmat kepada ayah walaupun terpaksa memapah ayah pagi petang, siang dan malam. Ayah pun sudah uzur, teman-teman ayah telah pun ramai yang meninggalkan ayah menemui rabbul jalalah. Kalau dulu ayah kuat, teman-teman ayah selalu cerita, ayah kalau berlari memang speeding, musang pun ayah dapat kejar. Aku masih teringat, dulu kalau malam kami tidur awal, tidur ramai-ramai diruang tamu, dalam jam 3 pagi terdengar suara ayam dibaham musang, ayah sepantas kilat melompat melalui jendela kejar musang, kadang dapat balik ayam tu. Satu ketika, kerja ayah sebagai pembuat gula manisan dari nira kelapa, setiap hari 20 hingga 30 batang pokok kelapa yang terpaksa ayah panjat, Tapi kini ayah tak sekuat itu lagi, ayah kena strouk, satu ketika tak boleh bangun, tak boleh bergerak, namun hari ini ayah mampu bertatih berkat usaha dan kesabaran ibu.

Ibu! Terlalu banyak kenangan bersamamu yang tak dapat kulupakan walau kesaat ini. Pahit manis kehidupanmu dalam mendidik anak-anakmu kini menjadi contoh masyarakat, mereka mula celik mata, mereka mula menyedari bahawa ilmu pengetahuan adalah segala-galanya. Kini berbekalkan kepahitan sejarah silam ibu telah mula membina kenangan manis bersama anak-anak yang semuanya telah berjaya menjadi manusia yang paling tidak, mampu berbakti dalam masyarakat. Walau ibu sendiri terpaksa menyimpan sejuta kerinduan untuk kembali melihat anak-anak dapat bersama bermain dan bermanja di ribaan ibu. Namun apakah kerinduan dan harapan ibu itu hanyalah mimpi-mimpi yang tak tiba, kini ibu sendirian lagi, tiada lagi anak-anak sebab mereka semua berjauhan, musim perayaan hanyalah dua kali setahun, itupun antara kami ada yang balik hanya sekali sahaja. kini hanya ayah sebagai teman yang masih setia untuk mendengar segala keluhan dan kerinduan ibu terhadap anak-anak.

Ibu, kami rindukan gulai itik-serati masakan ibu, semerbak baunya terkadang menerjah ingatan terhadap ibu, kerabu bunga nipah tak mungkin dapat kami kecapi kalau bukan dari hasil tangan ibu. Kai masih merindui untuk berkumpul dipagi hari bersama-sama adik abang sambil menikmati ubi kayu rebus dengan kelapa parut. Abang adik, mungkin satu masa kita boleh sama-sama buat kejutan untuk balik serentak terutama pada hari ibu. Ibu pastinya tidak tahu apa itu hari ibu, bila tarikhnya hari ibu, namun kiranya ada masa untuk kita bersama menjenguk ibu bukan hanya pada musim perayaan mungkin akan menjadi kenangan yang tak dapat dilupakan oleh ibu. Itupun sebelum ayah dan ibu terlebih dahulu yang membuat kejutan agar kita mesti balik bersama-sama.


gambar ibu bersama anak-anak, yang duduk sebelah ibu adalah aku, berdiri dari sebelah kanan, yusri abang yang kelima, abah abang yang pertama, adik bongsu kami salina kemudian abang kedua meli, dan abang yang keempat, mail. duduk dekat ayah (cheik) panggilan untuk ayah ialah che weil, jiran yang juga anak susuan ibu.



ini adalah gambar menantu ibu, duduk disebelah ibu adalah menantu sulung (kak ani), berdiri dari kanan memakai tudung hitam adalah kakyah, kedua isteri aku rohani, kemudian adik ipar kami azhar, pakai tudung biru kak nor, isteri yusri dan yang duduk sebelah cheik adalah kak ti.




gambar ini adalah hampir kesemua anak dan cucu ibu, di ambil pada 13.10.2007.







ibu dan ayah bersama sebahagian cucu-cucunya.