Sabtu, 10 Mei 2008

IBU

Ibu, aku tidak ingat betapa peritnya ibu sewaktu mengandungkan aku. Namun aku tidak lupa pada cerita ibu pada aku dan abang adikku. Sewaktu mengandungkan aku ibu sering mengidam dan selalu mabuk-mabuk. Ibu pernah muntah sampai peritnya tak mampu ditanggung oleh badan ibu yang waktu itu masih kekar dan sihat. Berhari-hari malah berminggu-minggu ibu kesakitan, waktu tu hospital bukalah pilihan utama untuk keluarga kami yang tinggal dipelusuk kampung. Tiada kemudahan dan kenderaan untuk ayah hantar ibu, ayah hanya mampu mencari bomoh dan bidan selain doa yang tidak pernah putus mengharapkan ibu akan kembali sihat.

Ibu, aku tidak ingat bagaimana sakit dan susahnya ibu melahirkan aku. Namun aku tidak lupa pada cerita ibu terhadap aku dan abang adikku. Selama tiga hari ibuku menahan kesakitan yang tak terkira untuk melahirkan aku. Ibu kata, biarlah umurnya sampai disitu pun ibu telah berserah, asal anak yang dikandungnya itu dapat dilahirkan dengan selamat, walaupun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri. Aku bukan anak sulung sehingga begitu susah hendak dilahirkan. Aku anak keenam dari tujuh adik beradik. Ibu sudah banyak pengalaman melahirkan anak, namun kenapa sangat susah dan sakitnya ibu ketika melahirkan aku. Kata orang mungkin anak engkau ni bawak tuah agaknya, walaupun ibu tahu kata-kata itu hanyalah sebagai motivasi penyejuk dan penenang hati ibu yang sedang kerisauan. Ibu tersenyum, mengharapkan kata-kata itu sebagai doa yang akan dimakbulkan bila-bila saja.

Ibu, aku tidak ingat setelah aku dilahirkan, betapa susahnya ibu menjaga aku, ayah bukanlah dari keluarga yang senang untuk mencari seorang bibit untuk menjaga makan minumku, jua tak ada orang lain yang mampu mengawal teriak tangisku. Kadang-kadang aku sendiri merasa malu dan tersipu-sipu kala ibu menceritakan aku sewaktu kecil sama dengan kisah P.Ramli dalam cerita Ahmad Albab. Selalu menangis. Kata ibu sampai mulutku jadi luka disebabkan terlalu kerap menangis. Pantang letak aje, aku akan menangis. Apa yang mampu ibu lakukan, padahal ayah sangat memerlukan bantuan ibu untuk mencangkul bendang dan menanam padi (sumber pendapatan keluargaku, selain dari tanaman lada dan sayuran lain) mau tidak ibu terpaksa menggendongku kemana saja ibu pergi, kadang-kadang aku diserahkan kepada kakak ku (Allahyarham). Kisah tangisku bukan sebulan, bukan setahun tapi bertahun-tahun. Namun aku tau ibu tetap cekal mengasuh aku sehingga aku kenal siapa diriku.

Ibu, aku jua masih belum mampu mengingati, satu masa ibu tidak mahu seorangpun anak ibu, yang tercicir dari pelajaran, kata ibu walaupun ibu terpaksa berhutang keliling pinggang, ibu akan tetap berusaha agar anak ibu tidak akan tercicir pelajaran. Kadang Jiran-jiran bersembang sesama mereka, berbincang tentang kerasnya hati ibu, berbincang tentang degilnya seorang surirumah yang tidak punya apa-apa tapi mempunyai cita-cita yang tinggi menggunung. Tak sedikit dari mereka yang mencemuh, tak kurang pula yang memperli dan mengata. Kadang-kadang ibu menangis dimalam hari, kemana hendak dicari wang pendaftaran sekolah anak-anak di awal tahun, bukan seorang anak, tapi tujuh orang, duit buku, duit harian, pakaian anak-anak kena beli juga. Kadang aku tersenyum sendiri mengingat tentang pakaian sekolah. Satu ketika musim buka sekolah kena pulak dengan musim raya, ibu kata nak jimat ibu akan beli pakaian sekolah untuk digunakan pada hari raya. Sedih ada jugak, tapi kadang ok la jugak, sebab dapat juga baju dan seluar baru, sebelum ni baju dan seluar sekolah yang abang punya. Itu pun dah bertampal dipunggung, sebab semakin lama semakin nipis digeser kerusi sekolah. Kawan-kawan mentertawakan aku, lantak la. Janji dapat pakai pakaian baru. Kasut sekolah pula kasut getah. Warna putih, tahan lama, tak mudah koyak. Stoking tak pakai. Bukan ape, senang kalau musim hujan boleh redah air banjir tanpa perlu bukak kasut. Macam cerita P.Ramli dalam musang berjanggut la. Nak basuh pun tak perlu pakai sabun pun.

Pernah satu ketika abang dapat panggilan untuk berkursus di maktab perguruan. Riuh rendah satu kampung bercerita anak ibu akan jadi seorang cikgu, masa tu cikgu tak macam sekarang, cikgu dipandang tinggi oleh masyarakat. Cikgu la segala-galanya. Kalau cikgu di calon sebagai wakil rakyat, agaknya tak susah cikgu nak dapat majority mudah. Mudir tempat abang belajar (Allahyarham Ustaz Mad Hasan) round seluruh masjid disekitar kampung mencanangkan pada masyarakat kampung anak murid dia dah dapat jadi cikgu. (iklan supaya masyarakat kampung hantar anak disekolahnya). Masa tu sape nak hantar anak ke sekolah agama. Ibu dan ayah menangis kegembiraan. Masyarakat ada yang datang mengucapkan tahniah, ada yang datang bertanya “ada duit ke nak hantar anak ke maktab?” tersentak ibu, rupanya disebalik kegembiraan yang ibu dapat itu, ibu akan melalui jalan yang sukar. Darimana ibu nak cari duit untuk menghantar anak pertamanya ini ke ruang pekerjaan. Ayah mula berfikir, kerja abang ini bagaikan perjudian hidup ayah. Kalau abang dapat jadi cikgu beban mungkin dapat dikurangkan sedikit. Walaupun bukan pembalasan yang diharapkan oleh ayah dan ibu dari abang.

Nun di bawah pokok manggis seekor kerbau jantan, yang sekian lamanya menjadi teman rapat ayah. Untuk menyiapkan sawah bendang, itulah harapan ayah, pernah satu ketika berlaku banjir besar dinegeri kami. Jarang orang yang lupa tentang banjir ini. Di saat rumah kami terkepung dek banjir besar masayarakat masing-masing mencari tempat tinggi dan kebanyakannya sudahpun berada di seberang sana, tanpa ayah sedar air dah mencecah lantai rumah, tiada jalan lain lagi, ayah terpaksa memikirkan cara bagaiman anak menyelamatkan kami sekeluarga. Kerbau kesayangan ayah itu lah tempat pergantungan ayah, kerbau berenang meredah banjir membawa ayah dan keluarga lainnya ketempat yang lebih selamat. Ayah sangat sayang kerbaunya itu. Namun kini, ayah kena buat pilihan, kerbau atau anak sulungnya. Ayah tekad, dengan harga berapa ratus RM sahaja ayah melepaskan teman rapatnya itu ketangan orang, sang kerbau pula memandang sayu dengan linangan air mata memandang ayah dan keluarga bagaikan mengerti betapa sebaknya ayah untuk melepaskannya. Dua tiga hari juga ayah tak dapat melelapkan mata mengingati nasib seekor teman rapatnya. Akhirnya abang dapat juga meneruskan pengajiannya demi mengharapkan kehidupan keluarga yang lebih baik dimasa akan datang. Sekali lagi ayah dan ibu terpaksa menangisi pemergian abang yang jauh lebih memeritkan dari perginya seekor teman rapat sang kerbau.

Ibu, di awal persekolahan, ibu sanggup menghantar aku ke sekolah setiap hari di awal pagi bukan dengan kereta sendiri, bas pun belum ada lagi dikampung kami. Tapi kita berdua berjalan kaki, ye lah sekolah pun bukan jauh sangat pun dari rumah Cuma 3 batu saja, tapi terpaksa meredah hutan dan kadang terpijak duri. kadang berbekalkan nasi bungkus daun pisang dengan berlaukkan ikan selar kuning goreng sudah cukup untukku mengalas perut sebelum cikgu berbaik hati untuk memberiku makanan tambahan dan susu segar setiap hari. Kadang-kadang tuan kantin (allahyarham pak man botak) memberiku makan percuma. Terima kasih pak man. Setelah aku mempunyai kawan, ibu tidak lagi menghantar aku kesekolah. Lagipun masa tu ibu sibuk nak jaga adik kecil ku pula (salina). Setiap hari dari tahun satu sampai tahun enam aku tak pernah dibekalkan dengan kenderaan untuk kesekolah. Aku dan kawan rapatku semasa dikampung, berjalan kaki saja setiap hari meredah rimba dan belukar (getoh mokngo) untuk bertemu dan bersama-sama kesekolah.

Ibu. Aku masih teringat satu ketika sewaktu besoknya akan menghadapi ujian penilaian darjah 5, aku terjatuh dari pokok jambu batu dirumah mak su munoh (allahyarham), tangan ku patah. Masa tu macam tarzan la, bergayut ke dahan itu bergayut kedahan sini, akhirnya kawan dibawah yang geram dengan aku di tariknya dahan kering tempat aku bergayut tu dengan galah, apalagi, terjelepuk la aku kat bawah) Ibu dan ayah membawaku kerumah bomoh di kampung limbat, pergelangan tanganku patah dan sendi sikuku terseliuh, besoknya dalam kesakitan ibu ku memapah aku ke kelas unutk menghadapi ujian. Ibu kata, cuba buat juga ujian penilaian itu sedaya upaya. Balik dari ujian ibu belikan aku sebungkus mamee. Dirumah Ttimah husin (allahyarham), di rumah ibu jaga makanan aku, banyak pantang larang yang tak boleh dimakan takut lambat sembuh dan tangan bengkak. Ikan kitam (ikan sungai yang macam ikan bawal warna hitam tapi berbintik-bintik, tak boleh makan, kacang bendi pun tak boleh makan sebab jenis yang berlendir. Ibu tak jemu memanggang ikan kembung garam kunyit untuk dijadikan lauk, itu je la yang boleh dimakan.

Ibu, dalam keadaan apapun jarang aku melihat air matamu tumpah didepan anak-anakmu, tapi satu ketika aku menyatakan hasrat kepadamu untuk mengaji di Pusat Pengajian Pondok, ibu terkejut! Apa tidaknya, sebelumnya aku macam pelesit dikampung. Tiba-tiba tanpa tawaran dan suruhan dari ibu aku nyatakan hasrat untuk mengaji di pondok. Lama ibu terdiam, dalam diam itu aku nampak ibu menangis, katamu dalam sendu“pergilah mengaji dipondok, mak sangat berbangga dapat anak seperti ki, (panggilan aku sewaktu usiaku kecil. Lama aku tak dengar ucapan sebegitu dari ibu). Cuma satu harapan ibu, agar di saat ibu sakit kalau dapat ki dapat membaca yasin untuk ibu pun cukuplah. Sewaktu ibu di dalam kubur ki dapat membacakan ayat-ayat suci al-qur’an dikuburan ibupun cukuplah. “insyaallah ibu” itu tekadku.

Ibu, tentu ibu masih ingat, Sewaktu di pondok aku terlibat kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawaku, sekali lagi ibu menangis keranaku. Walaupun selepas berlakunya eksiden itu, abang aku (Abang yang kedua, ramli) cuba untuk menembunyikan dari pengetahuan ibu, Cuma katanya, “mak, marzuki kat hospital,” ibu tanya “kenapa di hospital, apa yang berlaku! Demamkah, sakitkah, eksidenkah? Ketika itu ibu melihat air darah dari baju yang aku pakai yang dibawa balik oleh abangku diletakkan dekat telaga. Ibu Cuma beristighfar panjang, “ ya Allah! Apa dah jadi dengan anakku,” jom li, mak nak tengok. Aku terasa sangat bersalah kepada ibu kerana ibu terpaksa kesedihan disebabkan aku. Kemalangan itu cukup menguji aku, apa tidaknya kedua-dua belah mataku terpaksa di buat pembedahan, selama seminggu aku berada di dalam kegelapan, aku sedar ibu tak pernah berjauhan dari aku di kala itu. Setelah sebulan berada di HUSM aku diminta untuk meneruskan rawatan ke Kuala Lumpur untuk dirawat oleh pakar mata, seingat aku Prof Lai di HUKL, petaling jaya. Ibu meminta abang pertama ku, “abah” untuk menguruskan segalanya. Sekali lagi terima kasih yang tak terkira di ucapkan kepada abangku abah, sebenarnya semua yang terlibat la, abang-abangku semua sekalidan allahyarham kakak tersayang, meli, lijah, mail dan seri yang banyak berkorban apa saja untuk memastikan aku seperti sekarang ini. Orang kampungku juga yang datang melawat aku, terima kasih ku ucapkan, dengar kata memang ramai yang datang pada masa aku terlantar kesakitan di HUSM.

Ibu, setelah sekian lama aku berulang alik ke HUKL akhirnya aku dapat melihat kembali dunia yang indah ini dengan baik, walaupun tidak seindah dulu, namun aku tetap bersyukur, atas usaha, serta berkat doa dan harapan ibu disamping bantuan abang-abang aku dapat menjadi seperti seadanya ini. Tiada apa yang ingin dikesalkan, itulah takdir dari yang maha kuasa terhadapku.

Ibu, sekian harinya aku dapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke salah sebuah pusat pengajian tinggi di Nanggore Aceh sumatera barat, IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh. Untuk permulaannya ibu terpaksa memikirkan dan mencari jalan bagaimana dengan kos pengajian ku disana nanti, abangku abah berjanji dengan mak, dia yang akan menanggung beban pengajian selama aku belajar disana. Kakakku pula akan menanggung kos pemergian kesana. Pengorbanan mereka ini memang tidak dapat ku balas sampai sekarang. Namun berkat doa dan harapan dari semua ahli keluarga, hanya beberapa bulan selepas itu aku mendapat tawaran biasiswa dari MARA.

Ibu! Kudratmu kini tidak lagi sekuat dulu, kalau dulu ibu mampu menggendong anakmu ini walau di usia mencecah 20 an kerana sakit, namun kini ibu tidak mampu lagi, ibu terkadang rindu melihat sawah bendang dan kebun sayur yang menghijau, namun apakan daya, tenaga ibu tidak sekuat dulu lagi. Apapun ibu tetap berkhidmat kepada ayah walaupun terpaksa memapah ayah pagi petang, siang dan malam. Ayah pun sudah uzur, teman-teman ayah telah pun ramai yang meninggalkan ayah menemui rabbul jalalah. Kalau dulu ayah kuat, teman-teman ayah selalu cerita, ayah kalau berlari memang speeding, musang pun ayah dapat kejar. Aku masih teringat, dulu kalau malam kami tidur awal, tidur ramai-ramai diruang tamu, dalam jam 3 pagi terdengar suara ayam dibaham musang, ayah sepantas kilat melompat melalui jendela kejar musang, kadang dapat balik ayam tu. Satu ketika, kerja ayah sebagai pembuat gula manisan dari nira kelapa, setiap hari 20 hingga 30 batang pokok kelapa yang terpaksa ayah panjat, Tapi kini ayah tak sekuat itu lagi, ayah kena strouk, satu ketika tak boleh bangun, tak boleh bergerak, namun hari ini ayah mampu bertatih berkat usaha dan kesabaran ibu.

Ibu! Terlalu banyak kenangan bersamamu yang tak dapat kulupakan walau kesaat ini. Pahit manis kehidupanmu dalam mendidik anak-anakmu kini menjadi contoh masyarakat, mereka mula celik mata, mereka mula menyedari bahawa ilmu pengetahuan adalah segala-galanya. Kini berbekalkan kepahitan sejarah silam ibu telah mula membina kenangan manis bersama anak-anak yang semuanya telah berjaya menjadi manusia yang paling tidak, mampu berbakti dalam masyarakat. Walau ibu sendiri terpaksa menyimpan sejuta kerinduan untuk kembali melihat anak-anak dapat bersama bermain dan bermanja di ribaan ibu. Namun apakah kerinduan dan harapan ibu itu hanyalah mimpi-mimpi yang tak tiba, kini ibu sendirian lagi, tiada lagi anak-anak sebab mereka semua berjauhan, musim perayaan hanyalah dua kali setahun, itupun antara kami ada yang balik hanya sekali sahaja. kini hanya ayah sebagai teman yang masih setia untuk mendengar segala keluhan dan kerinduan ibu terhadap anak-anak.

Ibu, kami rindukan gulai itik-serati masakan ibu, semerbak baunya terkadang menerjah ingatan terhadap ibu, kerabu bunga nipah tak mungkin dapat kami kecapi kalau bukan dari hasil tangan ibu. Kai masih merindui untuk berkumpul dipagi hari bersama-sama adik abang sambil menikmati ubi kayu rebus dengan kelapa parut. Abang adik, mungkin satu masa kita boleh sama-sama buat kejutan untuk balik serentak terutama pada hari ibu. Ibu pastinya tidak tahu apa itu hari ibu, bila tarikhnya hari ibu, namun kiranya ada masa untuk kita bersama menjenguk ibu bukan hanya pada musim perayaan mungkin akan menjadi kenangan yang tak dapat dilupakan oleh ibu. Itupun sebelum ayah dan ibu terlebih dahulu yang membuat kejutan agar kita mesti balik bersama-sama.


gambar ibu bersama anak-anak, yang duduk sebelah ibu adalah aku, berdiri dari sebelah kanan, yusri abang yang kelima, abah abang yang pertama, adik bongsu kami salina kemudian abang kedua meli, dan abang yang keempat, mail. duduk dekat ayah (cheik) panggilan untuk ayah ialah che weil, jiran yang juga anak susuan ibu.



ini adalah gambar menantu ibu, duduk disebelah ibu adalah menantu sulung (kak ani), berdiri dari kanan memakai tudung hitam adalah kakyah, kedua isteri aku rohani, kemudian adik ipar kami azhar, pakai tudung biru kak nor, isteri yusri dan yang duduk sebelah cheik adalah kak ti.




gambar ini adalah hampir kesemua anak dan cucu ibu, di ambil pada 13.10.2007.







ibu dan ayah bersama sebahagian cucu-cucunya.

Tiada ulasan: