Jumaat, 8 Ogos 2008

PERPADUAN PEMANGKIN PERPADUAN UMMAH

Sidang Jumaat Sekalian,

Peristiwa hijrah merupakan satu peristiwa yang mempunyai makna yang terlalu besar bagi kejayaan Islam seluruhnya. Ianya merupakan titik tolak bagi kejayaan Islam dalam membina keseluruhan tamaddunnya. Hijrah menjadi pemangkin kepada kejayaan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan Islam ke seluruh alam. Peristiwa hijrah juga memberikan pengajaran yang besar bagi kita untuk memulakan langkah dalam memartabatkan Islam. Hijrah menampilkan begitu ramai watak-watak kerdil yang tidak langsung mendapat perhatian dalam masyarakat. Hijrah menyaksikan betapa insan-insan kerdil yang tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam masyarakat tetapi telah menyumbangkan jasa dan bakti yang amat besar terhadap perkembangan Islam. Allah sengaja memberikan peranan kepada golongan seperti ini bagi menunjukkan kepada kita bahawa setiap kita mampu menyumbangkan sesuatu kepada Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

Rasulullah S.A.W memulakan perjalanan hijrahnya dengan memerintahkan seorang remaja bernama Ali bin Abi Talib yang juga sepupunya untuk menggantikan baginda tidur di atas katil. Dengan keimanan dan keyakinan yang kental, Ali menerima arahan tersebut tanpa banyak persoalan walaupun dia amat sedar bahawa risikonya adalah maut. Sekali pandang, peranan yang dimainkan oleh Ali bin Abi Talib ini hanyalah tidur di tempat nabi. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang sanggup melakukan perkara sedemikian jika kita berada di tempat tersebut. Hadirin sekalian, jika kena tempatnya, tidur pun boleh menjadi suatu jasa yang amat besar kepada Islam.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Setelah berjalan meneruskan hijrah, padang pasir yang terbentang luas telah menjadi saksi bagi sumbangan seorang manusia yang di pandang hina oleh masyarakat. Amir bin Fuhairah merupakan seorang gembala kambing yang hampir tidak di kenali oleh masyarakat ketika itu.

Ketika Rasulullah S. A.W dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur sambil dikejar oleh musyrikin Mekah dengan tujuan untuk membunuh baginda, maka Amir bin Fuhairah melihat situasi ini dengan hati yang penuh pasrah. Sebagai pengembala kambing, apalah yang boleh disumbangkan oleh beliau untuk Islam terutamanya ketika Rasulullah S.A.W diancam maut. Tetapi Allah menjanjikan dalam firmannya dalam surah At-Talak , ayat ke 2 - 3 :

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا(2)وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا(3)

Ertinya :

Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya), nescaya Allah akan permudahkan baginya urusan-urusan serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah dirinya kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya segala sesuatu, sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki. Allah telah pun menentukan kadar dan masa berlaku tiap-tiap sesuatu.

Sidang Jumaat Sekalian ,

Atas keyakinan inilah Amir bin Fuhairah menadah tangan bermunajat kepada tuhannya lalu Allah memberikan ilham kepada beliau. Lantas beliau menghalau kambing-kambingnya menuju jejak-jejak langkah Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar hingga menyukarkan Musyrikin Mekah menjejaki Rasulullah S.A.W. Maka di hari ini kita dapat mengenali Amir bin Fuhirah sebagai satu personaliti yang cukup besar jasanya dalam membantu hijrah Rasulullah S.A.W.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kisah persembunyian Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar di dalam Gua Thur, lebih jelas sebagai bukti kekuasaan Allah. Allah telah memilih makhluknya yang cukup kerdil untuk mempertahankan Rasulnya. Allah telah mengutuskan labah-labah untuk membuat sarang di pintu gua tersebut hingga menyebabkan Musyrikin Mekah membatalkan hasrat untuk memasuki gua tersebut. Allah sengaja tidak menggunakan makhluk yang lebih besar bagi mempertahankan agamanya. Allah cukup mampu untuk menghantar gajah atau harimau bagi menghalang Musyrikin Mekah memasuki gua tersebut. Tetapi Allah sengaja menggunakan labah-labah supaya menjadi iktibar kepada kita bahawa akal fikiran dan kekuatan fizikal perlu seiring dan kita tidak boleh bergantung harap semata-mata kepada kekuatan fizikal sahaja tanpa menggunakan akal fikiran.

Hadirin Yang Dirahmati Allah,

Dalam suasana hari ini, di mana Islam berada di dalam keadaan yang amat tertekan, apakah pendirian kita terhadap tugas dakwah dan pemantapan Syariat Allah. Apakah kita hanya mampu mengatakan bahawa kita tergolong di dalam golongan yang lemah, apakah kita hanya mampu mancari berbagai–bagai alasan untuk mendiamkan diri daripada mencari jalan untuk memartabatkan Agama Allah.

Sidang Jumaat Sekalian,

Apakah kita sebagai seorang yang mengaku Islam dan beriman akan pulang menemui Allah dengan mengatakan tiada apa yang mampu kita lakukan untuk membantu agama Allah. Apakah kita yang tinggal di kampung akan mengatakan bahawa kita tidak mampu membantu Islam kerana kekurangan kemudahan. Apakah kita tinggal di kota akan menyalahkan kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan hingga melupakan kita kepada perjuangan. Apakah kita sebagai kakitangan awam mengatakan kepada tuhan bahawa tiada sesuatu pun dapat kita sumbangkan untuk Islam. Apakah kita sebagai seorang usahawan, hartawan dan seniman merasakan kita terlepas daripada tanggungjawab terhadap tuhan. Apakah kita sebagai pemimpin dan kenamaan dalam masyarakat tidak mampu memberikan sumbangan dalam merubahkan masyarakat mengikut ketentuan Syariat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Jika sedemikianlah jawapan yang kita berikan maka malulah kita kepada Ali bin Abi Talib yang mampu memberi jasa di usia remaja. Nilailah kedudukan kita dengan Amar bin Fuhairah yang hanya sebagai pengembala kambing. Terlebih malulah kita kepada labah-labah, makhluk yang sering kita anggap sebagai menyemakkan dunia. Sesungguhnya Allah tidak menilai kita berdasarkan hasil usaha kita tetapi Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha dan ikhtiar yang kita laksanakan. Gunakanlah akal fikiran, kemahiran dan pengalaman kita untuk berbakti kepada Islam. Semoga Allah memberikan pertunjuk dan hidayah hingga dapat kita meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya.

Tiada ulasan: