Jumaat, 8 Ogos 2008

KEMBALI KEPADA PERLUMBAAN SEBENAR

Daripada Abi Hurairah berkata : Telah berkata Abu Zar, Ya Rasulullah, orang-orang kaya di kalangan kami susah mati dengan membawa pahala berlipat kali ganda berbanding pahala yang kami perolehi. Ini di sebabkan mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti mana kami berpuasa tetapi mempunyaI kelebihan harta yang membolehkan mereka bersedekah sedangkan kami tidak tidak mempunyai harta seperti mereka. Rasulullah S.A.W pun bersabda mengapa tidak aku ajarkan kamu beberapa perkataan sekiranya kamu mengucapkannya nescaya kamu dapat menyamai pahala-pahala mereka yang terdahulu dan mereka yang hidup selepas kamu tidak akan dapat menyamai pahala kamu kecuali mereka melakukan apa yang kamu amalkan. Maka berkata Abu zar, bahkan ya Rasulullah S.A.W ajarkanlah kepada kami. Rasulullah S.A.W pun bersabda: setiap kali kamu selesai solat, bertasbih, bertahmid dan bertakbirlah sebanyak 33 kali dan akhirilah dengan lafaz

لا اله الا الله دحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شىء قدير

Hadis yang baru tuan-tuan dengar tadi merupakan salah satu cebisan kehidupan para sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang sudah tentu sangat jauh berbeza dengan kehidupan kita hari ini. Bila disebut sahaja soal ketaantan kepada Allah dan hidup beragama, mereka sangat rakus cemburu kalau-kalau ada orang lain menandingi mereka tidak kira samada miskin atau kaya sehingga terdapat orang-orang kaya yang setanding hidupnya dengan orang-orang fakir dalam hal ketaatan kepada Allah. Rupanya hidup mereka penuh dengan persaingan dan perlumbaan mencari pahala dan keredhaan Allah. Walaupun begitu mereka tetap juga berjaya dalam kehidupan serta dihormati dan digeruni malah mereka lebih berjaya dan gembira kerana kejayaan mereka dapat di rayakan di dunia dan bakal dirasai keseronokan di negeri akhirat.

Sidang Jumaat Sekalian,

Hidup dalan suasana persaingan dan perlumbaan ini juga berlau pada zaman kita. Cuma perkara yang dipersaingkan dan diperlumbakan itu amat jauh berbeza. Kalau dahulu mereka bersaing dalam mencari keredhaan Allah A.W.T tetapi tajuk perlumbaan kita hari ini tidak sama dengan tajuk perlumbaan mereka. Seorang bapa berusaha menyekolahkan anaknya dan memasukkannya ke sekolah terbaik supaya menjadi pelajar bistari dan cemerlang tetapi kadang-kadang tidak terfikir untuk berlumba-lumba menyuntik pendidikan iman dan hidup beragama dalam kehidupan anak-anak agar menjadi anak yang saleh. Seorang ketua keluarga berhempas pulas berlumba-lumba mencari nafkah agar keluarga hidup selesa di dunia ini tetapi terlupa untuk berlumba-lumba memastikan kehidupan keluarga lebih selesa di akhirat nanti. Isteri-isteri kita berlumba untuk menghiasi rumah kediaman agar kelihatan cantik dan kemas sehingga terkadang-kadang kita tidak menghiraukan adakah isteri-isteri kita telah menghiasi diri-diri mereka dengan perhiasan-perhiasan isteri yang solehah. Kita selalu berlumba-lumba untuk membesarkan rumah kediaman kita sehingga kita kadang-kadang terlupa untuk berusaha mempelajari dan mengetahui perkara-perkara yang boleh meluaskan liang kahat kubur-kubur kita dan apakah perkara-perkara yang boleh menerangi kubur-kubur kita. Kita berlumba-lumba menukar kenderaan kita untuk nampak lebih hebat dan cepat sampai ke matlamat yang dituju tetapi kita jarang berlumba-lumba untuk beramal dengan perkara-perkara yang menyegerakan kita menyeberang Titian Siratul Mustaqim.

Seorang pekerja berlumba-lumba untuk mengambil hati ketuanya yang kadang-kadang terpaksa menggadaikan prinsip kebenaran dan keadilan malah hilang rasa kasih sayang kepada rakan-rakan sejawat malah persahabatan yang dibina berpuluh-puluh tahun ranap dengan sekelip mata, lalu kawan menjadi lawan. Mungkin ada di kalangan umat Islam berlumba-lumba mencari kemahsyuran dan pangkat walaupun dia yakin bahawa pangkat dan kedudukan disisi Allah hanya didasari dengan nilai taqwa kepada Allah S.W.T tetapi dia tidak mengambil berat untuk mencapainya.

Sidang Jumaat sekalian,

Perkara-perkara yang disebut tadi tidak salah untuk diperlumbakan tetapi mestilah tidak keluar dari kawalan iman, taqwa, rasa takut kepada azab Allah dan gembira dengan janji manis Allah S.W.T. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 133 Maksudnya :

Dan bersegeralah kamu semua kepada pengampunan tuhanmu dan bagi memasuki syurga yang luas adalah seperti langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat Sekalian,

Percayalah bahawa negara ini akan lebih cepat maju dan umat Islam akan lebih dihormati apabila kita masing-masing memperbetulkan tajuk perlumbaan kita kepada jalan yang asal iaitu mencari keredhaan Allah yang sudah tentu dijanjikan balasan yang baik. Negara ini nescaya akan dihuni dan ditadbir oleh rakyat yang tidak mementingkan diri sendiri, jauh dari penyelewengan aqidah, syariat dan akhlak, gembira melihat makruf subur dan dukacita apabila melihat munkar mula berputik. Semua keadaan dan suasana dinaungi dan diredhai Allah S.W.T.

Sidang Jumaat Sekalian,

Rasanya masih belum terlambat untuk kita memulakan kembali atau memperbetulkan tajuk perlumbaan kita. Sabda Rasulullah S.A.W :

بَادِرُوْا بِاْلأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُوْنَ اِلاَّ فَقْرًا مُنْسِيًّا أَوْ غِنَي مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفْنِدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ اَدْهَى وَاَمَّرَ

Bermaksud :

Bersegeralah kamu melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datangnya tujuh macam perkara, apakah kalian masih berlengah sehingga datangnya kefakiran yang melalaikan atau kekayaan yang menyebabkan kecurangan-kecurangan atau kemiskinan yang merosakkan atau datang usia tua yang membawa nyanyuk atau kamu dijemput kematian atau tibanya dajjal maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu atau tibanya hari kiamat maka hari kiamat itu lebih besar bencananya serta lebih pahit penanggungan.

Sidang Jumaat Sekalian,

Perkembangan muttakhir ini lebih-lebih lagi menuntut kita agar berlumba-lumba mencari pertolongan Allah melalui keredhannya di saat musuh-musuh Islam seluruh dunia tidak sedetikpun berehat dari perlumbaan memusnahkan Islam dan penganutnya sedangkan umat Islam sendiri berlumba-lumba pada perkara yang kadang-kadang mengundang lagi kemurkaan Allah S.W.T.

Tiada ulasan: