Jumaat, 8 Ogos 2008

KEMBALILAH MEMATUHI PERINTAH ALLAH

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya dan saudara sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melakukan segala perintahnya dan menghindarkan diri dari melakukan larangan-larangannya, semoga dengan ini kita semua akan dikurniakan rahmat dan kebahagian serta keampunan di dunia dan di akhirat nanti.

Kaum Muslimin Sekalian,

Sejarah telah melapurkan kepada kita bahawa umat Islam dahulu yang terdiri dari para sahabat nabi dan pengikut-pengikut mereka telah pernah mencapai darjat dan kemulian serta ketinggian yang tiada tolok bandingnya, malah mereka pernah menjadi Yang dipertuan kepada (3/4) bahagian dunia kita. Mereka telah memperoleh keluasan dalam pembahagian rezeki. Mereka terkenal sebagai satu-satu golongan umat manusia yang mempunyai pekerti yang mulia, berjasa, berhati murni dan telah berjaya memperlihatkan kepada mata dunia suatu model masyarakat yang baik dan harmoni. Semua keadaan dan perihal yang indah-indah ini tentunya adalah kesan dari pertunjuk Agama Islam yang telah berakar umbi dalam jiwa mereka. Pohon-pohonan yang merendang dan merimbun itu tentunya telah tumbuh dari benih keimanan yang luhur yang tertanam di dasar hati nurani mereka. Lebih dari segala-galanya itu adalah keimanan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap agama Allah Taala. Umat Islam pada masa yang lalu, kalau mereka menetap kitab suci al-Quran yang dilihatnya ialah kebesaran dan keagungan pengajarnya. Kalau mereka merenung hadis-hadis Nabi Muihammad S.A.W, nanti natijahnya ialah amalan dan khidmat yang tulus ikhlas. Itulah kenyataannya. Lantaran itu mereka tidak menjadi hina dan rendah di mata dunia. Mereka adalah orang-orang yang menjadi pembela agama Allah, dan belum pernah terjadi pula Allah mengecewakan orang-orang yang seperti itu, yang telah menumpukan sepenuh bakti terhadap Allah S.W.T , firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 143 :

Ertinya :

Allah tiada membuang percuma keimananmu , sesungguhnya tuhan itu Maha enyantun lagi Maha Penyayang kepada manusia.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Sekarang marilah kita mengukur diri kita pula, layakkah agaknya kita ini mengaku menjadi pengikut agama nabi Allah S.A.W. ? Pada hal dalam kenyataannya kita masih jauh dari beramal dengan sunnah-sunnahnya? Layakkah kita mengaku bahawa kita adalah penganut agama Islam? Pada hal dalam kenyataannya kita masih menderhakai perintahnya? Dan sepak terajang kita pun banyak menyalahi ajarannya. Layakkah kita berkata bahawa kita bersungguh-sungguh mencintai agama Islam? Pada hal perbuatan kita sendiri menunjukkan seolah-olah kita membencinya. Layakkah kita menyebut bahawa kita mencintai Allah dan Rasulnya? Pada hal tingkah laku kita sendiri dan cara hidup kita sehari-hari masih lagi tidak mengikut perintah-perintahnya?

Kita bertanya lagi, layakkah kita masuk syurga Allah? Pada hal jasa kita baru sekelumit, baru berupa sebutir debu pasir di padang pasir, atau hanya setitik air dari lautan. Sedang Imam al- Syafie yang sudah terang dan jelas banyak membuat jasa dan sumbangan khidmatnya kepada agama pun masih sering merayu-rayu kepada Allah dengan berkata :

Ertinya :

Tuhanku, bukanlah aku orang yang layak masuk Syurga Firdausmu, dan aku tidak berdaya untuk menanggung siksa nerakamu, kerana itu kurniakanlah aku taubat dan ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya engkaulah yang dapat mengampunkan dosa biar sebesar manapun.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Mengapa sekarang kita membiarkan hati kita berubah? Perkerti kita bertukar? Agama kita runtuh? Mengapa kita mesti takut dan gentar kepada manusia, tetapi sebaliknya kita sedikitpun tidak takut dan gentar kepada Allah Rabbul Jalil? Mengapa kita mesti patuh kepada peraturan yang dicipta oleh manusia? Tetapi sebaliknya kita sedikit pun tidak mahu patuh dan taat kepada hukum-hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah? Bukankah titah perintahnya lebih berhak lagi kita junjung tinggi ?

Mengapa kita tidak mengambil pengajaran dari peristiwa yang telah berlalu? Mengapa kita tidak mengambil tauladan terhadap perkara-perkara yang telah berlaku? Umpamanya, dahulu kita terkenal sebagai umat yang berkemajuan di dunia ini, tetapi sekarang kita telah ketinggalan jauh di belakang dan menjadi pak turut sahaja. Kita dikenali sebagai penganut agama yang tulus ikhlas. Tetapi kini ramai di kalangan kita yang munafik pepat di luar runcing di dalam. Dahulu akhlak dan pekerti umat Islam sangat elok dan terpuji, tetapi sekarang ianya sudah caca marba dan pincang sekali. Dahulu kita merupakan golongan penganut agama yang kaya raya, tetapi kini kita sudah menjadi golongan yang papa kedana. Dahulu daerah bumi yang kita kuasai begitu luas, tetapi kini daerah-daerah itu semakin sempit. Dahulu umat Islam menguasai, tetapi kini kita sudah dijajah. Semua itu adalah padah dan akibat dari kelemahan kita yang tidak bersatu padu dan membelakangkan ajaran Allah dan rasulnya. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 46 :

Ertinya :

Dan ta`atlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita tambahi lagi amal bakti kita kepada Allah, ajaklah saudara-saudara kita yang lain supaya supaya kita kembali mematuhi perintah Allah, mentaati hukum-hukum Allah, amalkan semua ajaran al-Quran, takutkan kepada azab Allah kerana azabnya amat dahsyat, sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 1 :

Ertinya :

Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.

Tiada ulasan: