Jumaat, 8 Ogos 2008

KEBATILAN MENURUT ISLAM

Saudara Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pertembungan antara hak dan batil bermula semenjak penciptaan Adam Alaihissalam lagi dan akan berterusan selama mana ada pihak yang rela dirinya diatur oleh sistem Allah dan satu pihak lagi tidak rela dan tidak mahu berusaha untuk disusun atur oleh sistem Allah. Pertembungan antara kebenaran dan kebatilan berlaku di mana-mana, kadang-kadang ia berlaku di dalam masyarakat dan kadang-kadang ia berlaku di dalam diri kita sendiri. Cuma persoalannya adalah, kita berada di pihak yang mana. Mengaku sahajalah, kadang-kadang kita berada di pihak yang benar dan memenangkan kebenaran dan kadang-kadang kita kalah dengan kebatilan. Keimanan kita, ibadah kita kadang-kadang kuat dan hebat tetapi kadang-kadang rapuh dan tidak bermaya. Nabi Muhammad S.A.W diutus oleh Allah S.W.T antaranya adalah untuk memusnahkan sama sekali punca dan penggalak kegiatan jahat dalam masyarakat dan untuk membuka jalan kepada kebaikan, meluaskannya seboleh mungkin dan melaksanakan kebaikan bagi mengantikan kejahatan samada dalam kehidupan individu atau masyarakat. Firman Allah dalam Surah al-Syams ( الشمس) ayat 7-10 :

Ertinya :

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya, serta mengilhamkannya, untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada takwa, sesungguhnya berjayalah orang membersihkan dirinya ( dengan iman dan amal kebajikan ) dan hampalah orang yang susut dan terbenam kebersihannya ( dengan sebab kekotoran maksiat ).

Ayat ini menjelaskan bahawa sebenarnya kita mempunyai kemampuan ilmu dan kemahuan untuk membezakan dan menjauhi kejahatan dan menghampiri kebaikan. Hal ini diterangkan lebih lanjut dalam firman Allah dalam surah An-Insan ayat 2-3 :

Ertinya :

Sesungguhnya kami menciptakan manusia bermula dengan air mani yang bercampur, serta kami mengujinya ( dengan kewajipan-kewajipan ) maka kami jadikan ia berkeadaan mendengar dan melihat. Sesungguh kami telah menunjukkan kepadanya samada ia mahu bersyukur ( dengan beriman dan taat ) atau pun ia mahu berlaku kufur ( dengan mengingkari kebenaran atau derhaka ).

Ini menunjukkan bahawa Allah telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Tetapi apabila mereka meninggalkan jalan yang baik dan benar serta menggunakan keupayaan yang diberi untuk jalan kejahatan, bererti mereka rela merendahkan diri mereka sendiri sehingga menjadi makhluk yang hina. Mereka melakukan jenayah dan kekejaman yang tidak pernah dilakukan malahan oleh binatang-binatang. Kadang-kadang kita tahu perkara yang kita buat itu salah, barang yang kita ambil itu haram dan pilihan yang kita buat itu tidak tepat, tetapi kita tetap juga terus melakukannya. Mengapakah ini berlaku ?.

Persolan ini dijawab oleh Allah dalam al-Quran yang menerangkan sebab-sebab yang utama yang membawa manusia ke lembah kejahilan dan kemungkaran. Sebab-sebab itu ialah :

1. Mempertahan tradisi dan kepercayaan ikut-ikutan.

Ramai orang yang terjerumus ke lembah kemaksiatan kerana mereka mengikut secara membuta tuli jalan yang telah dilalui oleh golongan veteran dalam urusan menolak kebenaran. Sejarah telah menunjukkan bahawa orang ramai menolak kebenaran atas dasar mereka telah mengikuti jalan yang dilalui oleh nenek moyang mereka dan tidak mahu menukarnya. Itulah yang berlaku kepada kaum Nuh, kaum Ad’ dan kaum TSamud. Firman Allah dalam Surah Zukhruf ( الزخرف) ayat 23-24 :

Ertinya :

Dan demikian jalannya : Kami tidak mengutus sebelummu ( Muhammad ) kepada penduduk sesebuah negeri, seorang rasul pemberi amaran melainkan orang bangsawan dan terkemuka di negeri itu akan berkata “Sesungguhnya kami dapati nenek moyang kami menurut satu jalan agama lalu kami menurut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata adakah kamu tetap akan menurut mereka, walaupun kami akan membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah pertunjuknya daripada agama yang kamu dapati daripada datuk nenek kamu ? Mereka menjawab “sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan untuk membawanya “.

2. Sebab yang kedua ialah terlalu patuh kepada pemimpin secara membabi buta tuli.

Menurut sejarah, ini adalah satu lagi faktor yang membawa kepada penolakan ajaran Allah oleh orang ramai. Mereka berada di bawah kekuasaan pemimpin-pemimpin politik, raja-raja dan orang kaya serta mengikuti jejak langkah mereka dalam menentang para rasul. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 66-67 :

Ertinya :

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata dengan sesalnya “alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia ) taat kepada Allah dan rasul dan mereka berkata lagi, “ wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak para ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar “.

3. Sebab yang ketiga ialah kemegahan.

Ramai orang yang memilih untuk terus berada dalam kemaksiatan disebabkan sifat megah dan ego mereka. Mereka tidak sanggup mengaku salah kerana ia akan merosakkan kemegahan dan harga diri mereka lantas merendahkan status mereka pada pandangan orang lain. Al-Quran menggariskan usaha Nabi Nuh A.S untuk membawa kaumnya kepada kebenaran seperti firman Allah dalam surah Nuh ayat 5-7 :

Ertinya :

Nuh A.S berdoa dengan berkata “ Wahai tuhanku, sesunguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam supaya mereka beriman tetapi seruanku tidak menambahapa-apa kepada mereka kecuali mereka lebih jauh melarikan diri daripada kebenaran. Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka supaya engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya dan berlaku sombong dan takabbur yang melampau lampau”.

4. Sebab yang keempat ialah status keduniaan.

Ini merupakan satu lagi faktor yang menyesatkan orang ramai. Orang kaya walaupun melakukan rasuah atau perbuatan zalim dalam kehidupan mereka tetap dianggap berjaya. Orang miskin walaupun patuh dan berbudi dianggap sebagai gagal di dalam kehidupan. Dengan kedudukan dunia menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang tanpa mengambil kira sifat moral atau perangai mereka. Kaum Nuh menolak beliau kerana sebahagian besar daripada orang yang beriman dengan ajarannya adalah orang miskin. Firman Allah dalam surah as-syuara’’ ayat 111 :

Ertinya :

Mereka berkata, patutkah kami percaya kepada kamu sedangkan engkau semata-mata diikuti oleh orang yang rendah ( pangkat dan hina pekerjaaannya ).

Firman Allah dalam surah Saba’ 34-35 :

Ertinya :

Dan kami tidak mengutuskan kepada sesebuah negeri seorang rasul pemberi peringatan melainkan orang yang berada di dalam kemewahan di negeri itu berkata, kami tetap mengingkari apa yang kamu diutus membawanya dan mereka berkata lagi, kami lebih banyak harta dan anak pinak dan kami pula tidak akan disiksa.

3. Sebab yang kelima ialah kalah kepada dorongan nafsu dan dugaan hidup.

Ramai orang terus-terusan berada dalam kebatilan dan menolak kebenaran di sebabkan mereka menjadi hamba kepada nafsu mereka sendiri. Kadang-kadang bukan alasannya kerana tidak tahu malah sudah tahu hukumnya tetap tanpa memilih maksiat kerana dorongan nafsu. Semua orang tahu riba itu haram, bermain judi itu haram, solat itu wajib tetapi amalannya tidak sama dengan apa yang kita tahu. Allah S.W.T memberi contoh mengenai sesorang manusia yang berilmu tetapi tetap mengikut keinginan sendiri dan menolak kebenaran. Allah berfirman dalam surah al-a’raf ayat 175-178 :

Ertinya :

Dan bacakanlah kepada mereka wahai Muhammad (S.A.W) khabar berita seorang yang telah kami berikan kepadanya pengetahuan mengenai ayat-ayat kitab kami. Kemudian menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya lantas dia diikuti syaitan (dengan godaannya),maka jadilah ia daripada orang yang sesat. Dan kalau kami kehendaki nescaya kami tinggikan darjatnya dengan sebab mengamalkan ayat itu. Tetapi ia bermatian cenderong kepada dunia dan menurut hawa nafsunya: maka bandingannya adalah seperti anjing jika engkau menghalaunya ia menjelirkankan lidahnya termengah2 dan jika engkau membiarrkannya ia tetap juga menjelirkannya. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat2 kami dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yg beroleh petunjuk dan sesiapa yg disesatkan Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah yg akan rugi.

6. Dan sebab yg keenam ialah selesa berada dalam kesesatan dan kebatilan.

Ini satu lagi kejahatan yang mempengaruhi individu dan ummat manusia serta menjauhkan dirinya dari kebenaran. Sesetengah orang suka malahan ketagih kepada perbuatan jahat dan rela kekal dalam kehidupan keji tanpa ada rasa bersalah dan menyesal. Firman Allah dalam surah al-Mukmin ayat 75-76 :

Ertinya :

Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpa azab siksa, “Balasan buruk yg demikian itu adalah disebabkan kamu waktu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah2 dengan maksiat yg berleluasa, masuklah kamu melalui pintu2 jahannam, kekal kamu didalamnya, maka itulah seburuk buruk tempat bagi orang yang sombong dan takabbur”

7. Sebab yang ketujuh ialah anggapan bahawa kepatuhan beragama membinasakan kehidupan dunia.

Mereka beranggapan bahawa taat beragama dan patuh kepada kebenaran tidak sesuai untuk kejayaan hidup di dunia. Mereka menegaskan kamu mesti meninggalkan hidup beragama dalam dunia ini kalau ingin berjaya dalam hidup ini. Inilah sikap yg ditunjukkan oleh pemuka2 kaum Bani Syuib alaihissalam melalui firman Allah dalam surah al-Araf ayat 90 :

Ertinya :Sesungguhnya jika kamu mengikut Nabi Shuib A.S untuk kamu akan menjadi orang yang rugi.

Perkara yang sama juga dijawab oleh pimpinan Quraisy kepada nabi Muhammad yg bermaksud “jika kami mengikut petunjuk yg engkau bawa, kami akan dihalau keluar dari negeri kami.”

Inilah 7 sebab utama mengapa kebatilan tetap bermaharajalela malah laris di khalayak ramai seperti yg telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Semoga kita dapat memulakan dan menyumbang untuk menghentikan suasana ini

Tiada ulasan: