Jumaat, 8 Ogos 2008

HIBURAN DALAM ISLAM

الحمد لله الحمد لله القائل :

وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ وَسَعَى لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُمْ مَشْكُورًا

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ الاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .

اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Perkara yang membezakan di antara manusia dan malaikat adalah nafsu, Allah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini walaupun malaikat beranggapan mereka lebih layak semata-mata kerana manusia mempunyai nafsu yang akan membolehkan mereka mentadbir muka bumi ini. Nafsu akan membawa manusia kepada kemudharatan jika terlalu diturutkan tetapi membantu manusia mencari kebahagiaan jika dipandu oleh iman dan akal.

Hadirin Yang Dirahmati Allah,

Nafsu memerlukan hiburan sebagai makanan asasi. Islam juga tidak mengharamkan manusia untuk mengambil hiburan, tetapi hiburan yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah hiburan yang semata-mata hiburan dan melalaikan tetapi hiburan yang memberikan ketenangan dan tidak melupakan kita kepada tuhan. Hiburan bukanlah menjadi matlamat kehidupan tetapi hanya sekadar aktiviti sampingan bagi mengurangkan tekanan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai umat yang bertamadun, terlalu banyak perjuangan kita yang masih belum selesai. Umat Islam tidak mampu menerajui kepimpinan dunia malah kebanyakan kita masih gagal dalam menempatkan diri di dalam arus kemajuan dunia. Masih terlalau banyak bidang ilmu pengetahuan yang perlu kita pelajari dan masih terlalu banyak bidang kehidupan yang mesti kita terokai. Walau bagaimanapun apakah harapan yang boleh kita letakkan terhadap generasi yang leka dan dilalaikan dengan hiburan. Kita melihat generasi hari ini disogokkan dengan hiburan siang dan malam. Kita dikhayalkan dengan lakonan dan nyanyian pagi dan petang, dipukau oleh hero dan heroin Hindustan, tidak kira had , tidak kira sempadan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan cerita Hindustan atau Bollywood yang dibangkitkan oleh Majlis Mufti-Mufti SeMalaysia baru-baru ini nampaknya benar-benar menggemparkan masyarakat. Berbagai-bagai pihak menyatakan sokongan mahupun bantahan. Sebenarnya isu ini telah lama dikatakan bukan sahaja oleh golongan bidang keagamaan malah turut disuarakan oleh pihak seniman dan karyawan tempatan yang cintakan jati diri bangsa dan merasai tanggungjawab terhadap agama. Tetapi apabila ini disuarakan oleh pihak yang paling berotoriti dalam agama maka persoalan ini menjadi satu isu yang tidak harus dipandang sebelah mata.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Allah berfirman di dalam surah Hud ayat 15 – 16 :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لاَ يُبْخَسُونَ(15)أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ(16)

Ertinya :

Barangsiapa yang mahukan kehidupan di dunia dan segala perhiasannya nescaya kami sempurnakan balasan usaha mereka dan mereka tidak dikurangkan sesuatupun di dunia ini. Tetapi mereka itulah golongan yang tidak mendapat sebarang sesuatu di akhirat kecuali neraka Allah, lenyaplah segala manfaat usaha mereka ketika di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mungkin sebahagian kita bertanya kenapa filem Hindustan ini begitu dibimbangi dan menjadi sasaran golongan agama pada masa ini. Gambaran dibuat seolah-olah hanya filem Hindustan sahaja akan membawa kesan buruk terhadap masyarakat dan mesti diperangi habis-habisan. Sebenarnya persoalan kesan dan pengaruh filem ini telahpun disuarakan oleh ulamak-ulamak Islam semenjak peti televisyen mula diperkenalkan di negara ini. Ulamak telah mengingatkan masyarakat tentang kesan filem-filem barat atau Hollywood. Ulamak telah menegur tentang pencemaran budaya hidup yang ditonjolkan melalui filem Hong Kong. Ulamak turut menentang unsur-unsur khurafat dan tahyul yang diselitkan di dalam filem tempatan. Oleh yang demikian apabila filem-filem Hindustan ini begitu diberi tempat yang terlalu istimewa di media massa tempatan, maka tidak dapat tidak menjadi tanggungjawab ulamak membuat teguran. Ulamak tidak pernah memilih bulu dalam membuat teguran terhadap umat. Ulamak tidak memilih golongan tertentu untuk ditegur tetapi ulamak wajib menegur setiap kali kemungkaran dilaksanakan. Sabda Rasulullah S.A.W :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذلِكَ اَضْعَفُ اْلأيْمَانِ

Ertinya :

Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.

Sidang Jumaat Sekalian,

Perintah Rasul ini bukanlah semata-mata ditujukan kepada ulamak sahaja, tetapi siapakah yang mahu menjalankan perintah Allah ini selain daripada ulamak. Mereka yang mempunyai kuasa tidak mahu menggunakan kuasanya. Mereka yang boleh bercakap tidak memilih untuk memperkatakan kebenaran. Mereka yang boleh menulis lebih suka menulis sesuatu yang memutarbelitkan kebenaran. Maka kita melihat hari ini hanya ulamak yang sanggup memperkatakannya semata-mata kerana takutkan Allah. Allah berfirman dalam surah al-Fathir ayat 28 :

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Ertinya :

Hanyasanya yang takutkan Allah dari kalangan hambanya adalah ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Sidang Jumaat Sekalian,

Inilah buktinya silapnya dakwaan mereka yang mengatakan ulamak bukan semestinya mereka mempunyai ilmu pengetahuan agama. Silap jika kita mengatakan seseorang boleh dipanggil ulamak jika mempunyai kemahiran dunia walaupun tidak memahami langsung ajaran agama. Terlalu silap jika kita mengatakan pakar perubatan dan pakar perundangan juga dipanggil ulamak walaupun ilmunya bertentangan dengan Islam. Sesungguhnya yang dikatakan sebagai ulamak adalah mereka yang mempunyai ilmu dan ilmunya itu mendidiknya menjadi hamba yang takutkan Allah, sedangkan pada hari ini kita melihat mereka yang cukup tinggi ilmunya tetapi tidak takutkan Allah. Ketika mana mufti-mufti cuba mencegah kemungkaran, golongan bijak pandai juga turut menyumbang ke arah kemungkaran. Ketika kita cuba mengurangkan kesan negatif di bidang penyiaran berbagai-bagai pihak menyatakan bantahan termasuk ahli-ahli akademik di institusi pengajian tinggi.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kalau kita mengkaji dengan teliti maka kita akan dapati kesan buruk filem Hindustan terhadap masyarakat dan akidah umat Islam sukar untuk kita nafikan. Kita melihat penghinaan terhadap tuhan dan agama di mana pelakon memaki hamun tuhan mereka kerana ditimpa kecelakaan lalu digambarkan akhirnya tuhan mereka terpaksa menyelesaikan masalah mereka. Kita melihat pelakon –pelakon yang menjadi pujaan remaja masa kini yang dengan megahnya memakai rantai salib dan sujud menyembah berhala walaupun mereka beragama Islam. Kita sudah melihat kesan kepada akidah umat Islam di mana ramai anak-anak kita sanggup membotakkan kepala untuk berlakon sebagai Sami Buddha dalam filem Hollywood yang dibuat pengambaran di dalam negeri ini sedikit masa lalu. Kita melihat penonjolan pelakon-pelakon yang cantik dan seksi ditambahkan dengan tarian yang menghairahkan menjadi umpan untuk menarik minat masyarakat. Kita melihat budaya agama itu sama tarafnya, seolah-olah mahu diterapkan kepada masyarakat seperti perkahwinan berlainan agama, kepelbagaian agama dalam satu keluarga, kebebasan meninggalkan agama, budaya dan keluarga demi kerana cinta dan kasih sayang yang tidak sewajarnya sentiasa menjadi fokus utama dalam setiap cerita. Dan yang paling parah kita melihat mesej utama yang sentiasa dipaparkan ialah walau apapun permasalahannya hanya tuhan mereka atau agama Hindulah yang mampu menyelesaikannya.

Sidang Jumaat Sekalian,

Bukankah ini semua dapat kita lihat sebagai satu ancaman terhadap keutuhan bangsa dan agama kita. Jika kita sebagai umat Islam tidak berusaha untuk menyekatnya maka kepada siapakah lagi yang hendak kita harapkan. Jika pandangan pihak yang paling berotoriti dalam agama juga tidak kita hayati, apakah lagi yang akan menjadi benteng mempertahankan agama kita di kemudian hari.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kita bersyukur kehadrat Allah kerana usaha kita ini telah membuahkan hasil. Setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada Kementerian Penerangan kerana mengambil langkah mengurangkan tayangan di semua stesyen televisyen. Ini menjadi bukti peranan ulamak dalam memperbaiki kehidupan umat masih dihargai. Walau bagaimanapun bagi yang mempertahankan filem ini hisablah diri sendiri. Jika kita tidak mampu memperbaiki umat maka jangan kita bersekongkol dengan gerakan yang cuba merosakkannya. Bagi para akademik yang dikurniakan Allah dengan akal yang boleh memikir, maka jangan dikesampingkan asas keimanan supaya kita tidak hanyut dalam pemikiran yang dikuasai oleh syaitan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

KELEBIHAN MEMELIHARA ANAK YATIM

Wahai sekalian hamba Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah mudah-mudahan kita beroleh kejayaan.

Sidang Jumaat Yang dihormati,

Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap dan sesuai di semua zaman dan semua keadaan. Islam juga sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Keseragaman dan keserasian ini adalah adalah bermula dengan cara hidup yang mempunyai perasaan kasih sayang dan hormat menghormati dengan Syariat Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Anak yatim adalah merupakan golongan manusia dan generasi yang amat memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang dan perhatian daripada semua lapisan masyarakat, khususnya mereka diberikan oleh Allah kemewahan dan kelapangan masa bagi tujuan mendidik dan mengasuh. Oleh kerana anak-anak yatim ini tidak mendapat kasih sayang dan kemudahan yang secukupnya kerana kehilangan ibu atau bapa atau keduanya sebelum mencapai umur baligh.

Islam meletakkan kedudukan yang amat tinggi kepada anak yatim. Oleh itu masyarakat bertanggungjawab memberi perhatian yang sewajarnya dengan memberi belaian kasih sayang sepenuhnya kepada mereka. Mereka adalah anggota masyarakat yang kurang bernasib baik yang telah ditentukan oleh Allah (Qada’ Qadar). Dengan ini Allah meletakkan darjat dan pahala yang tinggi bagi insan yang mahukan perubahan dan sanggup meluangkan masa, tenaga dan perhatian yang penuh ikhlas terhadap kebajikan mereka sebagaimana dijelaskan oleh Rasullullah dalam Hadis :

خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِيْنَ بَيْتٌ فِيْهِ يَتِيْمٌ يُحْسَنُ اِلَيْهِ وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِيْنَ بَيْتٌ فِيْهِ يَتِيْمٌ يُسَاءُ اِلَيْهِ

Ertinya :

Sebaik-baik rumah ialah rumah orang Islam yang ada di dalamnya anak-anak yatim diasuh dengan baik dan sebaliknya seburuk-buruk rumah adalah rumah orang-orang Islam yang ada anak yatim tetapi tetapi tidak dijaga dengan baik.

Hadis tersebut menjelaskan kepada umatnya bahawa sebaik-baik rumah yang terdapat anak yatim dipelihara dan dididik dengan diberi kasih sayang serta perhatian, diasuh dan dihormati dan melahirkan sifat kesempurnaan di dalam dirinya. Sementara rumah dan keluarga yang dipandang hina di sisi Allah ialah rumah dan keluarga yang mengabaikan dan mendera anak yatim. Perkara ini adalah perlu diambil perhatian agar hidup mereka tidak terbiar seterusnya dirundung malang. Inisatif yang baik dan ikhlas perlu diambil perhatian oleh golongan-golongan yang diberi kelebihan dan kemewahan oleh Allah. Kita hendaklah menyalurkan bantuan ke tempat yang benar dan InsyaAllah diberi balasan yang setimpal kelak. Mimbar Jumaat hari ini mengajak tuan-tuan agar bantuan disalurkan melalui badan-badan yang didaftar lagi sah.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia ,

Sekali lagi diingatkan kepada masyarakat Islam agar tidak menggunakan harta anak yatim bagi kepentingan individu atau kepentingan orang lain kerana ini termasuk dalam dosa besar. Rasulullah S.A.W sendiri telah diperlihatkan di dalam perjalanan Israk dan Mikraj . Sejarah Rasulullah S.A.W juga adalah dilahirkan di dalam keadaan yatim di besarkan pula dalam keadaan yatim piatu yang menghadapi pahit maung telah dirasai sendiri oleh baginda. Firman Allah dalam surah al-Dhuha ayat 1 –11 :

Ertinya :

Demi waktu dhuha dan malam apabila ia sunyi sepi , (bahawa) tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkan mu, dan ia tidak benci (kepadamu sebagaimana yang dituduh oleh orang kaum musyrik) dan sesungguhnya! tuhan mu akan memberi kepada mu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat ) sehingga engkau redha dan berpuas hati. bukankah ia mendapati engkau yatim piatu, lalu memberikan perlindungan ? Dan didapatinya engkau tercari-cari (jalan yang benar), lalu ia memberikan pertunjuk (dengan wahyu al-Quran), dan di dapati engkau miskin, lalu ia memberikan kekayaan ? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, adapun orang yang meminta ( bantuan pimpinan ) maka janganlah engkau tengking herdik, adapun nikmat tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan sebagai menzahirkan kesyukuran.

Pengajaran ayat tersebut bahawa baginda Rasulullah S.A.W di besarkan di dalam pengawalan dan asuhan Allah sehingga menjadi pemimpin negara dan dunia yang di contohi, dengan itu sudah sampai waktunya masyarakat Islam mengorak langkah memberikan sedikit waktu, tenaga serta bantuan kepada anak-anak yatim khususnya melalui pendidikan dan memberikan pendedahan yang secukupnya terhadap golongan kecil yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, dengan ini mereka mendapat tempat dilubuk hati masyarakat Islam, mendapat secebis kasih sayang kerana anak-anak yatim adalah kekasih Allah seperti juga baginda Nabi Muhammad S.A.W .

وَءَاتُوا الْيَتَامَى أَمْوَالَهُمْ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَى أَمْوَالِكُمْ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا

HILANGNYA KETUANAN ISLAM

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Dunia hari ini sedang menyaksikan situasi yang amat sukar bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. Manusia semakin keliru dalam membezakan antara baik dan jahat, antara berperang dan mengganas, antara jihad dan jahat . Dunia hari ini bukan lagi dunia yang dikuasai oleh kepimpinan dan ketuanan Islam, tetapi dicernakan dan diaturkan oleh dunia barat yang penuh kepalsuan. Sekian lama dunia Islam menghadapi penginayaan dan penindasan, namun Islam juga yang masih menjadi musuh utama alam sejagat . Umat Islam masih dilihat sebagai umat yang sukakan keganasan walaupun di mana-mana kita melihat Umat Islamlah yang sering menjadi mangsa keganasan. Ketika bumi Palestin dirampas oleh Yahudi laknat, dunia masih sibuk menuding jari menyalahkan dan mempertikaikan tindakan kumpulan Islam yang berjihad mempertahankan negara mereka. Ketika umat Islam disembelih di Bosnia dunia hanya menganggapnya sebagai suatu malapetaka biasa. Ini semua berpunca daripada kelemahan Umat Islam yang terlalu bergantung kepada orang lain dan semakin jauh daripada ajaran Allah. Umat Islam hari ini tidak mempunyai sebab dan musabab bagi melayakkan mereka menerima bantuan dan pertolongan Allah. Terlalu jauh bezanya zaman ketuanan Islam suatu masa lalu dengan zaman kelesuan dan kedayusan umatnya pada masa ini. Khalifah Umar al-Khattab bersama tenteranya memasuki negara barat dengan hanya memberikan penduduk negeri tersebut tiga pilihan iaitu menerima Islam sebagai pegangan, bernaung di bawah pemerintahan Islam dan memberi jizyah atau bersedia menghadapi peperangan Oleh kerana Islam mempunyai ketuanan serta dihormati oleh musuh dan kawan, maka tindakan tersebut tidak pernah dipersalahkan. Malah sebahagian besar penduduk menyambut kemasukan tentera Islam sebagai bulan jatuh ke riba kerana sekian lama mereka tersiksa dengan kekejaman pemerintah yang ada. Masyarakat dunia terlalu dahagakan keadilan dan kebebasan Islam. Dunia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan Islam walaupun Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang zuhud yang tinggal di rumah yang buruk dan memakai pakaian yang bertampal, namun keberanian, ketegasan dan keyakinannya melaksanakan Islam dihormati oleh penduduk dunia dan masyarakat antarabangsa . Ini berbeza dengan umat Islam hari ini yang lebih banyak menyembah mengharapkan keredhaan barat berbanding keyakinan terhadap pertolongan Allah. Walaupun pemimpin Islam hari ini mempunyai sumber kekayaan yang mampu menguasai dunia serta mempunyai mahligai dan kemewahan yang menakjubkan dunia namun segala tindakan kita seolah-olah masih mengharapkan pertolongan orang bukan Islam. Umat Islam hari ini lebih banyak menjaga imej agar tidak disalah anggap oleh orang lain daripada memperlihatkan amalan dan perlaksanaan Islam walaupun imej yang dikehendaki tidak pernah diperolehi. Kita lebih banyak bertolak ansur sehingga dunia langsung tidak mendapat gambaran apakah Islam sebenarnya.

Sidang Jumaat Sekalian,

Peristiwa yang menimpa Amerika Syarikat sedikit masa lalu terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat manusia seluruhnya. Dunia melihat hancurnya keegoan satu kuasa besar yang selama ini seolah-olah mahu mencabar kekuasaan Allah. Dunia menyaksikan pengganas kecilan mampu menggugat pengganas terhormat yang selama ini bermaharajalela mencorakkan dunia mengikut hawa nafsu mereka. Peristiwa tersebut menampakkan kedayusan umat Islam dalam mempertahankan kehormatannya. Suka atau tidak seluruh dunia termasuk negara-negara Islam terpaksa melahirkan simpati melebihi simpati mereka terhadap penginayaan terhadap umat Islam. Sebenarnya situasi ini hampir sama dengan kisah yang diungkapkan dalam surah al-Rum ayat 1-4 :

Maksudnya :

Alif, Lam, Mim, Telah dikalahkan bangsa Romawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi . Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang) dan di hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman .

Sidang Jumaat Sekalian,

Kita amat sedih dengan nasib orang ramai yang tidak bersalah. Islam tidak pernah menaja dan merestui sebarang keganasan di muka bumi. Oleh itu Islam juga tidak membenarkan perbuatan membalas dendam walaupun atas alasan mencari keadilan. Islam tidak mungkin menyokong sebarang tuduhan yang dibuat tanpa asas dan bukti yang jelas. Oleh yang demikian segala bantuan dan pertolongan terhadap perbuatan tersebut adalah juga diharamkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 :

Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian mu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Segala kekalutan seperti ini tidak akan berlaku jika Islam menguasai dunia. Dunia hari ini akan aman jika Islam diberi peranan yang secukupnya. Umat Islam mestilah mengembalikan jati diri dan berusaha mendapatkan kembali ketuanan Islam bagi memimpin dunia. Marilah kita kembali menghayati pendirian yang seharusnya ada pada umat Islam sebagaimana Allah menggambarkan dalam surah al-Fath ayat 29 :

Ertinya :

Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kufur, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaannya. Tanda-tanda mereka nampak dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan Injil, iaitu seperti tanaman yang kuat , lalu menjadi besarlah dia dan menjadi tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah menjengkilkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 113 :

Ertinya :

Janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tiada penolong yang lain dari Allah, kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

DOSA MEMBAWA BINASA

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya jika asasnya hanya kerana mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Sudah banyak bangsa yang terusir dari tanahair, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja yang saleh yang memiliki sejumlah sifat keunggulan menurut piawaian tuhan. Pewaris yang mendapat jaminan tuhan adalah al-Solehun iaitu mereka yang menggabungkan iman dengan amal saleh. Kuat kerjanya di atas muka bumi ini sekuat hubungannya dengan Allah. Ini adalah sifir sejarah semenjak dahulu lagi. Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 105 :

Maksudnya :

Dan sesungguhnya telah kami tuliskan di dalam Zabur sesudah ( kami tulis di dalam ) Luh Mahfuz bahawasanya bumi ini dipusakai hambaku yang salih.

Ketetapan tuhan melalui sejarah ini membuktikan hakikat bahawa unggul atau hancurnya sesuatu bangsa tergantung kepada perilaku moral mereka samada menepati piawaian tuhan atau sebaliknya. Penentu nasib sesuatu bangsa adalah kudrat dan iradat Tuhan yang Maha Kuasa. Tuhanlah yang menyelamatkannya dan tuhan juga yang menghancurkan mereka dengan cara yang dikehendakinya apabila buruk akhlak mereka telah sampai ke puncaknya. Demikianlah yang terjadi kepada kaum Lut, penduduk Madyan, Kaum Ad dan Thamud, Firaun, Qarun dan Hamman. Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 40 :

Maksudnya :

Maka tiap-tiap (mereka itu) kami siksa disebabkan dosa mereka, maka di antara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan ada di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguruh dan di antara mereka ada yang kami tenggelamkan dan Allah sekali-kali tidak hendak menginaya mereka, akan tetapi merekalah yang menginaya diri mereka sendiri.

Empat jenis contoh azab yang ditimpakan Allah ke atas bangsa-bangsa yang tadinya gagah perkasa sehingga tiba-tiba sekelip mata hilang di dunia bukan penganiaan tuhan ke atas manusia tetapi akibat dosa-dosa kezaliman mereka sendiri. Demikianlah hakikat dosa membawa binasa. Dapatlah dibayangkan nasib bangsa yang telah hilang kesedaran tentang dosa yang ditandai gejala meluasnya budaya kesewenang-wenangan melakukan kezaliman, penipuan, pembaziran, pembolotan dan pelbagai dosa lagi .

Kalau di tinjau perkembangan mutakhir di negara kita, agaknya kebiadapan bangsa Melayu terhadap tuhannya sudah hampir ke kemuncaknya dengan pendedahan cerita kumpulan anak-anak muda kita anti tuhan dan memuja syaitan kumpulan Black Metal. Bermula dengan kegilaan terhadap muzik-muzik rock. Kita tidak terfikir bagaimana boleh sanggup orang-orang Islam boleh memijak al-Quran sambil minum arak dan mendengan muzik yang diakhiri dengan kencing di atas al-Quran. Satu jenayah jijik yang tidak pernah dilakukan walaupun orang bukan Islam.

Mengambil kesempatan ini Mimbar Jumaat menggesa para penjaga, tolong sensitif terhadap perubahan anak atau cucu-cucu kita. Golongan ini dapat dikesan melalui beberapa tanda antaranya :

· Sering berpakaian bewarna hitam.

· Memakai rantai salib atau bintang lima bucu.

· Amat fanatik dengan muzik-muzik rock.

· Mempunyai tanda di dagu mereka.

Bertambah malang dengan isu ini hebat diperkatakan beriringan pula dengan isu pencapaian buruk pelajar kita di pusat-pusat pengajian tinggi disambut pula dengan pelawaan kepada kaum Cina untuk mendirikan sebuah universiti. Tentunya ada sebabnya apabila al-Quran berulang-ulang menegaskan hakikat bahawa dosa membawa binasa seperti dalam firman Allah dalam surah al-An’am ayat 6 :

Maksudnya :

Apakah mereka tidak memerhatikan beberapa banyak generasi yang telah kami binasakan sebelum mereka, pada hal (generasi itu) telah kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah kami berikan kepada kamu dan kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka kemudian kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan kami ciptakan sesudah generasi yang lain.

Kekuatan dan kegagahan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Bagi tuhan terlalu mudah untuk membinasakan apa yang dikehendakinya. Hancurnya kaum Ad dan kaum Thamud, karamnya Firaun dan Hamman dan tenggelamnya Qarun ditelan bumi tidak pernah ditangisi sebagai satu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Setiap yang pergi akan segera ada penganti yang lebih berkualiti.

Namun manusia selalu lupa apabila mendapat harta, kuasa, diuji dengan nikmat kestabilan dan keamanan. Mereka lupa bahawa semuanya itu adalah milik Allah. Manusia hanya pemegang amanah yang diuji samada ia memiliki syarat kontrak dan mandat pemiliknya iaitu Allah atau ia memperlakukannya sebagai hak milik sendiri, lalu bertindak sewenang-wenangnya, bermaharajalela seolah segala khazanah dia yang punya. Manusia yang terpedaya dengan nikmat dan memandang remeh persoalan dosa itulah yang dibinasakan tuhan dengan cara yang dikehendaki ada yang dihancurkan menerusi bencana yang menimpa secara tiba-tiba, ada yang dibinasakan dengan adu domba sesama sendiri, ada yang dihabisi melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak, kegawatan ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Perkataan dosa yang membawa binasa itu kadang-kadang bertukar ganti dengan perkataan kezaliman. Maksudnya tuhan membinasakan sesuatu bangsa apabila mereka berleluasa melakukan kezaliman seperti mendusta dan menganiaya para rasul serta orang-orang yang beriman, mempersenda ayat-ayat serta hukum-hakam tuhan dan lain-lain hal yang dicakupi oleh istilah zalim dalam erti yang luas. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 59 :

Maksudnya :

Dan (Penduduk) negeri itu telah kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.

Memang sudah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan lalu binasakan Allah, mereka segera digantikan oleh generasi lain yang benar-benar lain watak dan kualitinya. Pengantian generasi itu berlaku kerana sebab-sebab tertentu, terutama apabila mereka telah mengalami mabuk harta dan kehidupan dunia lalu menjadi rakus, bakhil dan mementingkan diri sendiri. Hakikat inilah yang diungkapkan dalam surah Muhammad ayat 36-38 :

Maksudnya :

Sesungguhnya kehidupan dunia itu adalah permainan dan senda gurau belaka. Jika kamu beriman dan bertaqwa nescaya Allah berikan pahala-pahala kamu dan tidak meminta harta kamu. Jikalau Allah meminta dan mendesak kamu, nescaya akan bakhillah kamu dan akan diperlihatkan keburukan kamu.

Itulah kamu ! Kamu telah diseru untuk membalanjakan hartamu pada jalan Allah. Maka setengah daripada kamu ada yang bakhil, sesungguhnya ia bakhil kepada diri sendiri. Dan Allah Maha Kaya sedang kamu adalah sangat faqir. Dan jika kamu berpaling, nescaya akan digantikan kamu dengan kaum lain dan mereka (yang lain itu) tidak akan sama dengan kamu.

Petikan ayat di atas memberikan gambaran tentang kehidupan yang tidak pernah serius, terlalu banyak sandiwara yang serba pura-pura. Mereka yang tenggelam dalam kehidupan serupa itulah yang diperingatkan agar menyedari bahawa arus hidup harus diisi dengan iman dan taqwa, bukan sandiwara dan lakonan. Harus dibuktikan dengan kesanggupan berkorban, membelanjakan harta kekayaan itu sebenarnya bukan miliknya tetapi milik Allah. Apabila sesuatu generasi bangsa sudah membelakangkan sikap dan kesedaran tersebut tamatlah riwayat mereka dan akan menyusullah generasi yang lain yang punya sikap yang baik dan sihat.

Isu penggantian suatu kaum dengan kaum yang lain disebut berulangkali dalam al-Quran. Misalnya dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 38-39, tuhan telah memberikan amaran kepada mereka yang kehilangan ghairah perjuangan, mereka mula mabuk dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara dan tidak seberapa, lupa dengan habuan akhrawi yang berganda-ganda.

Demikianlah hakikatnya, kesenangan dan kemewahan duniawi yang membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang. Lupa matlamat asal perjuangan. Kesimpulannya nasib sesuatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Sesuatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat untuk kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik. “ Adapun buih itu, akan hilang sebagai bahan yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia maka ia tetap di bumi ”. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan dalam surah al-Ra’d ayat 17 :

Maksudnya :

Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengembang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

Kalimah-kalimah al-Zabad (buih) adalah symbol bangsa tanpa kualiti, tanpa isi. Yang ada hanya gelombang kosong yang serba rapuh, sewaktu-waktu boleh pecah dan menghilang dari dunia. Apalah yang dapat disumbang oleh buih, berapalah sangat harga segunung buih.

KEMERDEKAAN YANG HAKIKI

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Rata-rata rakyat Malaysia sedang memperkatakan mengenai kemerdekaan negara. Sambutan kemerdekaan disambut di seluruh negara dengan berbagai cara dan pendekatan. Persoalannya ialah adakah semua kita benar-benar telah memerdekakan diri dan jiwa kita seiring dengan kemerdekaan negara . Ada orang berpendapat bahawa manusia menjadi merdeka apabila negaranya merdeka. Ada orang menganggap bahawa kemerdekaan itu mesti dihayati dan dinikmati sepenuhnya dengan melakukan apa sahaja yang terlintas di hati dan terlihat di mata. Ada juga orang yang berpendapat bahawa kemerdekaan bermakna kita mesti berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada pada hari ini walaupun tiada sebarang pembaikan dan perubahan dengan semata-mata bersandar kepada konsep kesyukuran.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Untuk menilai sejauh mana kita telah menghayati kemerdekaan, maka kita perlu mengetahui apakah pandangan Islam terhadap kemerdekaan. Kemerdekaan atau kebebasan merupakan salah satu prinsip asas dalam Syariat Islam. Islam melihat kebebasan sebagai suatu keperluan asasi bagi setiap manusia. Sebab itulah disebutkan bahawa Islam membuka negeri-negeri ketika menawannya bukan menjajahnya kerana Islam tidak bertujuan menguasai tetapi bertujuan membebaskan manusia bagi menerima kebenaran Allah. Kita tidak melihat mana-mana kerajaan Islam yang memaksa rakyatnya memeluk Islam walaupun kita melihat ramai umat Islam disiksa dan dianiayai semata-mata kerana menerima Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam diutuskan kepada manusia bagi membebaskan rohani dan batin mereka daripada memperhambakan diri kepada selain Allah. Oleh kerana Nabi merupakan orang yang paling terkehadapan dalam kemungkinan untuk dipertuhankan oleh manusia maka Allah secara tegas menjelaskan bahawa Nabi Muhammad S. A.W tidak lebih dari seorang Rasul untuk membebaskan manusia daripada kemungkinan tersebut. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 144 :

Ertinya :

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.

Sidang Jumaat Sekalian,

Manusia biasanya akan terjerumus kepada perhambaan diri kepada sesama makhluk akibat permasalahan hidup yang dihadapinya. Kebimbangan terhadap permasalahan hidup boleh mendorong seseorang itu sanggup menerima kehinaan, menggadai kehormatan diri dan bertolak ansur daripada sebahagian haknya sendiri. Allah menjelaskan bahawa ketakutan dan kebimbangan tersebut adalah akibat bisikan syaitan dan sepatutnya manusia mesti yakin dengan pertolongan Allah. Ayat 268 dalam surah al-Baqarah menjelaskan :

Ertinya :

Syaitan menjanjikan bagi kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu berbuat perkara keji sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurniaan, dan Allah Maha Luas Kurniaan lagi Maha Mengetahui.

Dalam surah Ali-Imran ayat 160 Allah berfirman :

Maksudnya :

Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mu'min bertawakkal.

Sidang Jumaat Sekalian,

Manusia mungkin berjaya membebaskan dirinya daripada perhambaan kepada sesama makhluk dan daripada menjadi hamba kepada permasalahan hidup, tetapi kadang-kadang manusia sering menjadi hamba kepada nilai dan norma hidup. Manusia akan merasakan wujudnya perbezaan martabat dan kemuliaan berasaskan nilaian harta, keturunan, pangkat dan kedudukan. Fenomena ini terserlah dalam surah al-Saba’ ayat 35-37 :

Maksudnya :

Dan mereka berkata: "Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab. Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikitpun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam surga).

Malah Rasulullah S. A . W sendiri pernah ditegur oleh Allah kerana terpengaruh dengan krisis nilai ini, apabila tidak mempedulikan seorang miskin yang buta bernama Abdullah bin Ummu Maktum yang datang untuk bertanyakan sesuatu disebabkan terlalu sibuk berdakwah kepada Al-Walid bin Al-Mughirah yang merupakan seorang pembesar Arab ketika itu .

Sidang Jumaat Sekalian,

Ramai manusia gagal membebaskan dirinya daripada perhambaan kepada hawa nafsu. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 24 :

Ertinya :

Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

Jiwa yang bebas dan merdeka hanya meletakkan dunia dan segala perhiasannya di tangan mereka bukan di hati. Jiwa yang bebas dan merdeka akan sentiasa berwaspada dengan fitnah harta dan perhiasan dunia. Keperluan kepada sesuap nasi dan keperluan kepada keperluan asasi lain boleh mendorong manusia menjual maruah diri dan sujud kepada manusia. Sebab itulah Islam mewajibkan zakat iaitu harta yang wajib diambil oleh pemerintah daripada harta orang kaya untuk diberikan kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya. Jika zakat tidak mencukupi maka tanggungjawab pemerintah menyediakan peruntukan secukupnya walaupun terpaksa mengorbankan pembangunan yang lain. Tiada gunanya bangunan yang mencakar langit jika hak asasi rakyat tidak dipenuhi .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pembebasan terbesar yang diberikan oleh Islam kepada manusia ialah kebebasan memilih aqidah dan kebenaran. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 99 :

Ertinya :

Dan jika tuhanmu menghendaki nescaya akan beriman segala penghuni mukabumi selurugnya, maka apakah kamu berhasrat mahu memaksa mereka supaya menjadi orang beriman semuanya.

Malah lebih dari itu Islam juga membebaskan manusia daripada iman secara taklid atau dengan lain perkataan disebut sebagai perhambaan pemikiran. Manusia yang menerima Islam secara taklid tidak akan merasakan keunggulan dan keagungan Islam yang dianutinya. Begitu juga mereka yang tidak memahami hakikat pengorbanan dan perjuangan menuntut kemerdekaan tidak akan mampu mempertahankan kemerdekaan. Sebab itulah Islam memberikan kebebasan kepada manusia samada mahu memilih Islam atau terus berada dalam kekufuran. Manusia juga bebas samada mahu menerima kebenaran ataupun terus tenggelam dan bergelumang dengan kesesatan. Di waktu yang sama Allah memberikan Islam sebagai pertunjuk dan panduan untuk manusia membuat pemilihan. Gambaran ini dizahirkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 170 :

Ertinya :

Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutlah apa yang diturunkan Allah ; merka menjawab malah kami hanya mengikuti apa yang kami dapati daripada nenek moyang kami. Apakah mereka akan tetap mengikutinya walaupun terbukti nenek moyang mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak mendapat pertunjuk .

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan manusia yang terus memilih kesesatan walaupun amat nyata kepalsuannya. Manusia masih mengikut apa yang diwarisi daripada nenek moyang mereka walaupun menyedari kebodohan nenek moyang mereka itu. Manusia masih enggan meninggalkan amalan kesesatan mereka walaupun amat menyedari bahawa kesesatan itu akan merosakkannya. Manusia masih sanggup terus bergelumang dengan dosa walaupun menyedari bahawa maksiat yang akan dilakukan akan menyeret mereka ke neraka. Inilah seburuk-buruk perhambaan yang mencengkam manusia jika kita tidak berwaspada. Apalah gunanya kebebasan fizikal. Jika hati masih terpenjara. Apalah gunanya sorakan kemerdekaan jika di sanubari tiada terdidik sebarang rasa untuk mempertahankannya. Apalah gunanya kibaran bendera merata-rata jika tiada lagi semangat juang untuk mempertahankan agama dan negara. Apa di bangga keamanan dan kemewahan negara jika hari yang berlalu hanya menambahkan dosa.

KEBATILAN MENURUT ISLAM

Saudara Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pertembungan antara hak dan batil bermula semenjak penciptaan Adam Alaihissalam lagi dan akan berterusan selama mana ada pihak yang rela dirinya diatur oleh sistem Allah dan satu pihak lagi tidak rela dan tidak mahu berusaha untuk disusun atur oleh sistem Allah. Pertembungan antara kebenaran dan kebatilan berlaku di mana-mana, kadang-kadang ia berlaku di dalam masyarakat dan kadang-kadang ia berlaku di dalam diri kita sendiri. Cuma persoalannya adalah, kita berada di pihak yang mana. Mengaku sahajalah, kadang-kadang kita berada di pihak yang benar dan memenangkan kebenaran dan kadang-kadang kita kalah dengan kebatilan. Keimanan kita, ibadah kita kadang-kadang kuat dan hebat tetapi kadang-kadang rapuh dan tidak bermaya. Nabi Muhammad S.A.W diutus oleh Allah S.W.T antaranya adalah untuk memusnahkan sama sekali punca dan penggalak kegiatan jahat dalam masyarakat dan untuk membuka jalan kepada kebaikan, meluaskannya seboleh mungkin dan melaksanakan kebaikan bagi mengantikan kejahatan samada dalam kehidupan individu atau masyarakat. Firman Allah dalam Surah al-Syams ( الشمس) ayat 7-10 :

Ertinya :

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya, serta mengilhamkannya, untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada takwa, sesungguhnya berjayalah orang membersihkan dirinya ( dengan iman dan amal kebajikan ) dan hampalah orang yang susut dan terbenam kebersihannya ( dengan sebab kekotoran maksiat ).

Ayat ini menjelaskan bahawa sebenarnya kita mempunyai kemampuan ilmu dan kemahuan untuk membezakan dan menjauhi kejahatan dan menghampiri kebaikan. Hal ini diterangkan lebih lanjut dalam firman Allah dalam surah An-Insan ayat 2-3 :

Ertinya :

Sesungguhnya kami menciptakan manusia bermula dengan air mani yang bercampur, serta kami mengujinya ( dengan kewajipan-kewajipan ) maka kami jadikan ia berkeadaan mendengar dan melihat. Sesungguh kami telah menunjukkan kepadanya samada ia mahu bersyukur ( dengan beriman dan taat ) atau pun ia mahu berlaku kufur ( dengan mengingkari kebenaran atau derhaka ).

Ini menunjukkan bahawa Allah telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Tetapi apabila mereka meninggalkan jalan yang baik dan benar serta menggunakan keupayaan yang diberi untuk jalan kejahatan, bererti mereka rela merendahkan diri mereka sendiri sehingga menjadi makhluk yang hina. Mereka melakukan jenayah dan kekejaman yang tidak pernah dilakukan malahan oleh binatang-binatang. Kadang-kadang kita tahu perkara yang kita buat itu salah, barang yang kita ambil itu haram dan pilihan yang kita buat itu tidak tepat, tetapi kita tetap juga terus melakukannya. Mengapakah ini berlaku ?.

Persolan ini dijawab oleh Allah dalam al-Quran yang menerangkan sebab-sebab yang utama yang membawa manusia ke lembah kejahilan dan kemungkaran. Sebab-sebab itu ialah :

1. Mempertahan tradisi dan kepercayaan ikut-ikutan.

Ramai orang yang terjerumus ke lembah kemaksiatan kerana mereka mengikut secara membuta tuli jalan yang telah dilalui oleh golongan veteran dalam urusan menolak kebenaran. Sejarah telah menunjukkan bahawa orang ramai menolak kebenaran atas dasar mereka telah mengikuti jalan yang dilalui oleh nenek moyang mereka dan tidak mahu menukarnya. Itulah yang berlaku kepada kaum Nuh, kaum Ad’ dan kaum TSamud. Firman Allah dalam Surah Zukhruf ( الزخرف) ayat 23-24 :

Ertinya :

Dan demikian jalannya : Kami tidak mengutus sebelummu ( Muhammad ) kepada penduduk sesebuah negeri, seorang rasul pemberi amaran melainkan orang bangsawan dan terkemuka di negeri itu akan berkata “Sesungguhnya kami dapati nenek moyang kami menurut satu jalan agama lalu kami menurut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata adakah kamu tetap akan menurut mereka, walaupun kami akan membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah pertunjuknya daripada agama yang kamu dapati daripada datuk nenek kamu ? Mereka menjawab “sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan untuk membawanya “.

2. Sebab yang kedua ialah terlalu patuh kepada pemimpin secara membabi buta tuli.

Menurut sejarah, ini adalah satu lagi faktor yang membawa kepada penolakan ajaran Allah oleh orang ramai. Mereka berada di bawah kekuasaan pemimpin-pemimpin politik, raja-raja dan orang kaya serta mengikuti jejak langkah mereka dalam menentang para rasul. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 66-67 :

Ertinya :

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata dengan sesalnya “alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia ) taat kepada Allah dan rasul dan mereka berkata lagi, “ wahai tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak para ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar “.

3. Sebab yang ketiga ialah kemegahan.

Ramai orang yang memilih untuk terus berada dalam kemaksiatan disebabkan sifat megah dan ego mereka. Mereka tidak sanggup mengaku salah kerana ia akan merosakkan kemegahan dan harga diri mereka lantas merendahkan status mereka pada pandangan orang lain. Al-Quran menggariskan usaha Nabi Nuh A.S untuk membawa kaumnya kepada kebenaran seperti firman Allah dalam surah Nuh ayat 5-7 :

Ertinya :

Nuh A.S berdoa dengan berkata “ Wahai tuhanku, sesunguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam supaya mereka beriman tetapi seruanku tidak menambahapa-apa kepada mereka kecuali mereka lebih jauh melarikan diri daripada kebenaran. Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka supaya engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya dan berlaku sombong dan takabbur yang melampau lampau”.

4. Sebab yang keempat ialah status keduniaan.

Ini merupakan satu lagi faktor yang menyesatkan orang ramai. Orang kaya walaupun melakukan rasuah atau perbuatan zalim dalam kehidupan mereka tetap dianggap berjaya. Orang miskin walaupun patuh dan berbudi dianggap sebagai gagal di dalam kehidupan. Dengan kedudukan dunia menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang tanpa mengambil kira sifat moral atau perangai mereka. Kaum Nuh menolak beliau kerana sebahagian besar daripada orang yang beriman dengan ajarannya adalah orang miskin. Firman Allah dalam surah as-syuara’’ ayat 111 :

Ertinya :

Mereka berkata, patutkah kami percaya kepada kamu sedangkan engkau semata-mata diikuti oleh orang yang rendah ( pangkat dan hina pekerjaaannya ).

Firman Allah dalam surah Saba’ 34-35 :

Ertinya :

Dan kami tidak mengutuskan kepada sesebuah negeri seorang rasul pemberi peringatan melainkan orang yang berada di dalam kemewahan di negeri itu berkata, kami tetap mengingkari apa yang kamu diutus membawanya dan mereka berkata lagi, kami lebih banyak harta dan anak pinak dan kami pula tidak akan disiksa.

3. Sebab yang kelima ialah kalah kepada dorongan nafsu dan dugaan hidup.

Ramai orang terus-terusan berada dalam kebatilan dan menolak kebenaran di sebabkan mereka menjadi hamba kepada nafsu mereka sendiri. Kadang-kadang bukan alasannya kerana tidak tahu malah sudah tahu hukumnya tetap tanpa memilih maksiat kerana dorongan nafsu. Semua orang tahu riba itu haram, bermain judi itu haram, solat itu wajib tetapi amalannya tidak sama dengan apa yang kita tahu. Allah S.W.T memberi contoh mengenai sesorang manusia yang berilmu tetapi tetap mengikut keinginan sendiri dan menolak kebenaran. Allah berfirman dalam surah al-a’raf ayat 175-178 :

Ertinya :

Dan bacakanlah kepada mereka wahai Muhammad (S.A.W) khabar berita seorang yang telah kami berikan kepadanya pengetahuan mengenai ayat-ayat kitab kami. Kemudian menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya lantas dia diikuti syaitan (dengan godaannya),maka jadilah ia daripada orang yang sesat. Dan kalau kami kehendaki nescaya kami tinggikan darjatnya dengan sebab mengamalkan ayat itu. Tetapi ia bermatian cenderong kepada dunia dan menurut hawa nafsunya: maka bandingannya adalah seperti anjing jika engkau menghalaunya ia menjelirkankan lidahnya termengah2 dan jika engkau membiarrkannya ia tetap juga menjelirkannya. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat2 kami dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yg beroleh petunjuk dan sesiapa yg disesatkan Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah yg akan rugi.

6. Dan sebab yg keenam ialah selesa berada dalam kesesatan dan kebatilan.

Ini satu lagi kejahatan yang mempengaruhi individu dan ummat manusia serta menjauhkan dirinya dari kebenaran. Sesetengah orang suka malahan ketagih kepada perbuatan jahat dan rela kekal dalam kehidupan keji tanpa ada rasa bersalah dan menyesal. Firman Allah dalam surah al-Mukmin ayat 75-76 :

Ertinya :

Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpa azab siksa, “Balasan buruk yg demikian itu adalah disebabkan kamu waktu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah2 dengan maksiat yg berleluasa, masuklah kamu melalui pintu2 jahannam, kekal kamu didalamnya, maka itulah seburuk buruk tempat bagi orang yang sombong dan takabbur”

7. Sebab yang ketujuh ialah anggapan bahawa kepatuhan beragama membinasakan kehidupan dunia.

Mereka beranggapan bahawa taat beragama dan patuh kepada kebenaran tidak sesuai untuk kejayaan hidup di dunia. Mereka menegaskan kamu mesti meninggalkan hidup beragama dalam dunia ini kalau ingin berjaya dalam hidup ini. Inilah sikap yg ditunjukkan oleh pemuka2 kaum Bani Syuib alaihissalam melalui firman Allah dalam surah al-Araf ayat 90 :

Ertinya :Sesungguhnya jika kamu mengikut Nabi Shuib A.S untuk kamu akan menjadi orang yang rugi.

Perkara yang sama juga dijawab oleh pimpinan Quraisy kepada nabi Muhammad yg bermaksud “jika kami mengikut petunjuk yg engkau bawa, kami akan dihalau keluar dari negeri kami.”

Inilah 7 sebab utama mengapa kebatilan tetap bermaharajalela malah laris di khalayak ramai seperti yg telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Semoga kita dapat memulakan dan menyumbang untuk menghentikan suasana ini

KEMBALILAH MEMATUHI PERINTAH ALLAH

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya dan saudara sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melakukan segala perintahnya dan menghindarkan diri dari melakukan larangan-larangannya, semoga dengan ini kita semua akan dikurniakan rahmat dan kebahagian serta keampunan di dunia dan di akhirat nanti.

Kaum Muslimin Sekalian,

Sejarah telah melapurkan kepada kita bahawa umat Islam dahulu yang terdiri dari para sahabat nabi dan pengikut-pengikut mereka telah pernah mencapai darjat dan kemulian serta ketinggian yang tiada tolok bandingnya, malah mereka pernah menjadi Yang dipertuan kepada (3/4) bahagian dunia kita. Mereka telah memperoleh keluasan dalam pembahagian rezeki. Mereka terkenal sebagai satu-satu golongan umat manusia yang mempunyai pekerti yang mulia, berjasa, berhati murni dan telah berjaya memperlihatkan kepada mata dunia suatu model masyarakat yang baik dan harmoni. Semua keadaan dan perihal yang indah-indah ini tentunya adalah kesan dari pertunjuk Agama Islam yang telah berakar umbi dalam jiwa mereka. Pohon-pohonan yang merendang dan merimbun itu tentunya telah tumbuh dari benih keimanan yang luhur yang tertanam di dasar hati nurani mereka. Lebih dari segala-galanya itu adalah keimanan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap agama Allah Taala. Umat Islam pada masa yang lalu, kalau mereka menetap kitab suci al-Quran yang dilihatnya ialah kebesaran dan keagungan pengajarnya. Kalau mereka merenung hadis-hadis Nabi Muihammad S.A.W, nanti natijahnya ialah amalan dan khidmat yang tulus ikhlas. Itulah kenyataannya. Lantaran itu mereka tidak menjadi hina dan rendah di mata dunia. Mereka adalah orang-orang yang menjadi pembela agama Allah, dan belum pernah terjadi pula Allah mengecewakan orang-orang yang seperti itu, yang telah menumpukan sepenuh bakti terhadap Allah S.W.T , firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 143 :

Ertinya :

Allah tiada membuang percuma keimananmu , sesungguhnya tuhan itu Maha enyantun lagi Maha Penyayang kepada manusia.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Sekarang marilah kita mengukur diri kita pula, layakkah agaknya kita ini mengaku menjadi pengikut agama nabi Allah S.A.W. ? Pada hal dalam kenyataannya kita masih jauh dari beramal dengan sunnah-sunnahnya? Layakkah kita mengaku bahawa kita adalah penganut agama Islam? Pada hal dalam kenyataannya kita masih menderhakai perintahnya? Dan sepak terajang kita pun banyak menyalahi ajarannya. Layakkah kita berkata bahawa kita bersungguh-sungguh mencintai agama Islam? Pada hal perbuatan kita sendiri menunjukkan seolah-olah kita membencinya. Layakkah kita menyebut bahawa kita mencintai Allah dan Rasulnya? Pada hal tingkah laku kita sendiri dan cara hidup kita sehari-hari masih lagi tidak mengikut perintah-perintahnya?

Kita bertanya lagi, layakkah kita masuk syurga Allah? Pada hal jasa kita baru sekelumit, baru berupa sebutir debu pasir di padang pasir, atau hanya setitik air dari lautan. Sedang Imam al- Syafie yang sudah terang dan jelas banyak membuat jasa dan sumbangan khidmatnya kepada agama pun masih sering merayu-rayu kepada Allah dengan berkata :

Ertinya :

Tuhanku, bukanlah aku orang yang layak masuk Syurga Firdausmu, dan aku tidak berdaya untuk menanggung siksa nerakamu, kerana itu kurniakanlah aku taubat dan ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya engkaulah yang dapat mengampunkan dosa biar sebesar manapun.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Mengapa sekarang kita membiarkan hati kita berubah? Perkerti kita bertukar? Agama kita runtuh? Mengapa kita mesti takut dan gentar kepada manusia, tetapi sebaliknya kita sedikitpun tidak takut dan gentar kepada Allah Rabbul Jalil? Mengapa kita mesti patuh kepada peraturan yang dicipta oleh manusia? Tetapi sebaliknya kita sedikit pun tidak mahu patuh dan taat kepada hukum-hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah? Bukankah titah perintahnya lebih berhak lagi kita junjung tinggi ?

Mengapa kita tidak mengambil pengajaran dari peristiwa yang telah berlalu? Mengapa kita tidak mengambil tauladan terhadap perkara-perkara yang telah berlaku? Umpamanya, dahulu kita terkenal sebagai umat yang berkemajuan di dunia ini, tetapi sekarang kita telah ketinggalan jauh di belakang dan menjadi pak turut sahaja. Kita dikenali sebagai penganut agama yang tulus ikhlas. Tetapi kini ramai di kalangan kita yang munafik pepat di luar runcing di dalam. Dahulu akhlak dan pekerti umat Islam sangat elok dan terpuji, tetapi sekarang ianya sudah caca marba dan pincang sekali. Dahulu kita merupakan golongan penganut agama yang kaya raya, tetapi kini kita sudah menjadi golongan yang papa kedana. Dahulu daerah bumi yang kita kuasai begitu luas, tetapi kini daerah-daerah itu semakin sempit. Dahulu umat Islam menguasai, tetapi kini kita sudah dijajah. Semua itu adalah padah dan akibat dari kelemahan kita yang tidak bersatu padu dan membelakangkan ajaran Allah dan rasulnya. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 46 :

Ertinya :

Dan ta`atlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita tambahi lagi amal bakti kita kepada Allah, ajaklah saudara-saudara kita yang lain supaya supaya kita kembali mematuhi perintah Allah, mentaati hukum-hukum Allah, amalkan semua ajaran al-Quran, takutkan kepada azab Allah kerana azabnya amat dahsyat, sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 1 :

Ertinya :

Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.

PERPADUAN PEMANGKIN PERPADUAN UMMAH

Sidang Jumaat Sekalian,

Peristiwa hijrah merupakan satu peristiwa yang mempunyai makna yang terlalu besar bagi kejayaan Islam seluruhnya. Ianya merupakan titik tolak bagi kejayaan Islam dalam membina keseluruhan tamaddunnya. Hijrah menjadi pemangkin kepada kejayaan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan Islam ke seluruh alam. Peristiwa hijrah juga memberikan pengajaran yang besar bagi kita untuk memulakan langkah dalam memartabatkan Islam. Hijrah menampilkan begitu ramai watak-watak kerdil yang tidak langsung mendapat perhatian dalam masyarakat. Hijrah menyaksikan betapa insan-insan kerdil yang tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam masyarakat tetapi telah menyumbangkan jasa dan bakti yang amat besar terhadap perkembangan Islam. Allah sengaja memberikan peranan kepada golongan seperti ini bagi menunjukkan kepada kita bahawa setiap kita mampu menyumbangkan sesuatu kepada Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

Rasulullah S.A.W memulakan perjalanan hijrahnya dengan memerintahkan seorang remaja bernama Ali bin Abi Talib yang juga sepupunya untuk menggantikan baginda tidur di atas katil. Dengan keimanan dan keyakinan yang kental, Ali menerima arahan tersebut tanpa banyak persoalan walaupun dia amat sedar bahawa risikonya adalah maut. Sekali pandang, peranan yang dimainkan oleh Ali bin Abi Talib ini hanyalah tidur di tempat nabi. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang sanggup melakukan perkara sedemikian jika kita berada di tempat tersebut. Hadirin sekalian, jika kena tempatnya, tidur pun boleh menjadi suatu jasa yang amat besar kepada Islam.

Muslimin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Setelah berjalan meneruskan hijrah, padang pasir yang terbentang luas telah menjadi saksi bagi sumbangan seorang manusia yang di pandang hina oleh masyarakat. Amir bin Fuhairah merupakan seorang gembala kambing yang hampir tidak di kenali oleh masyarakat ketika itu.

Ketika Rasulullah S. A.W dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur sambil dikejar oleh musyrikin Mekah dengan tujuan untuk membunuh baginda, maka Amir bin Fuhairah melihat situasi ini dengan hati yang penuh pasrah. Sebagai pengembala kambing, apalah yang boleh disumbangkan oleh beliau untuk Islam terutamanya ketika Rasulullah S.A.W diancam maut. Tetapi Allah menjanjikan dalam firmannya dalam surah At-Talak , ayat ke 2 - 3 :

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا(2)وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا(3)

Ertinya :

Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya), nescaya Allah akan permudahkan baginya urusan-urusan serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah dirinya kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya segala sesuatu, sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki. Allah telah pun menentukan kadar dan masa berlaku tiap-tiap sesuatu.

Sidang Jumaat Sekalian ,

Atas keyakinan inilah Amir bin Fuhairah menadah tangan bermunajat kepada tuhannya lalu Allah memberikan ilham kepada beliau. Lantas beliau menghalau kambing-kambingnya menuju jejak-jejak langkah Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar hingga menyukarkan Musyrikin Mekah menjejaki Rasulullah S.A.W. Maka di hari ini kita dapat mengenali Amir bin Fuhirah sebagai satu personaliti yang cukup besar jasanya dalam membantu hijrah Rasulullah S.A.W.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kisah persembunyian Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar di dalam Gua Thur, lebih jelas sebagai bukti kekuasaan Allah. Allah telah memilih makhluknya yang cukup kerdil untuk mempertahankan Rasulnya. Allah telah mengutuskan labah-labah untuk membuat sarang di pintu gua tersebut hingga menyebabkan Musyrikin Mekah membatalkan hasrat untuk memasuki gua tersebut. Allah sengaja tidak menggunakan makhluk yang lebih besar bagi mempertahankan agamanya. Allah cukup mampu untuk menghantar gajah atau harimau bagi menghalang Musyrikin Mekah memasuki gua tersebut. Tetapi Allah sengaja menggunakan labah-labah supaya menjadi iktibar kepada kita bahawa akal fikiran dan kekuatan fizikal perlu seiring dan kita tidak boleh bergantung harap semata-mata kepada kekuatan fizikal sahaja tanpa menggunakan akal fikiran.

Hadirin Yang Dirahmati Allah,

Dalam suasana hari ini, di mana Islam berada di dalam keadaan yang amat tertekan, apakah pendirian kita terhadap tugas dakwah dan pemantapan Syariat Allah. Apakah kita hanya mampu mengatakan bahawa kita tergolong di dalam golongan yang lemah, apakah kita hanya mampu mancari berbagai–bagai alasan untuk mendiamkan diri daripada mencari jalan untuk memartabatkan Agama Allah.

Sidang Jumaat Sekalian,

Apakah kita sebagai seorang yang mengaku Islam dan beriman akan pulang menemui Allah dengan mengatakan tiada apa yang mampu kita lakukan untuk membantu agama Allah. Apakah kita yang tinggal di kampung akan mengatakan bahawa kita tidak mampu membantu Islam kerana kekurangan kemudahan. Apakah kita tinggal di kota akan menyalahkan kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan hingga melupakan kita kepada perjuangan. Apakah kita sebagai kakitangan awam mengatakan kepada tuhan bahawa tiada sesuatu pun dapat kita sumbangkan untuk Islam. Apakah kita sebagai seorang usahawan, hartawan dan seniman merasakan kita terlepas daripada tanggungjawab terhadap tuhan. Apakah kita sebagai pemimpin dan kenamaan dalam masyarakat tidak mampu memberikan sumbangan dalam merubahkan masyarakat mengikut ketentuan Syariat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Jika sedemikianlah jawapan yang kita berikan maka malulah kita kepada Ali bin Abi Talib yang mampu memberi jasa di usia remaja. Nilailah kedudukan kita dengan Amar bin Fuhairah yang hanya sebagai pengembala kambing. Terlebih malulah kita kepada labah-labah, makhluk yang sering kita anggap sebagai menyemakkan dunia. Sesungguhnya Allah tidak menilai kita berdasarkan hasil usaha kita tetapi Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha dan ikhtiar yang kita laksanakan. Gunakanlah akal fikiran, kemahiran dan pengalaman kita untuk berbakti kepada Islam. Semoga Allah memberikan pertunjuk dan hidayah hingga dapat kita meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya.