Jumaat, 8 Ogos 2008

HIBURAN DALAM ISLAM

الحمد لله الحمد لله القائل :

وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ وَسَعَى لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ كَانَ سَعْيُهُمْ مَشْكُورًا

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ الاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .

اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Perkara yang membezakan di antara manusia dan malaikat adalah nafsu, Allah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini walaupun malaikat beranggapan mereka lebih layak semata-mata kerana manusia mempunyai nafsu yang akan membolehkan mereka mentadbir muka bumi ini. Nafsu akan membawa manusia kepada kemudharatan jika terlalu diturutkan tetapi membantu manusia mencari kebahagiaan jika dipandu oleh iman dan akal.

Hadirin Yang Dirahmati Allah,

Nafsu memerlukan hiburan sebagai makanan asasi. Islam juga tidak mengharamkan manusia untuk mengambil hiburan, tetapi hiburan yang dikehendaki di dalam Islam bukanlah hiburan yang semata-mata hiburan dan melalaikan tetapi hiburan yang memberikan ketenangan dan tidak melupakan kita kepada tuhan. Hiburan bukanlah menjadi matlamat kehidupan tetapi hanya sekadar aktiviti sampingan bagi mengurangkan tekanan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai umat yang bertamadun, terlalu banyak perjuangan kita yang masih belum selesai. Umat Islam tidak mampu menerajui kepimpinan dunia malah kebanyakan kita masih gagal dalam menempatkan diri di dalam arus kemajuan dunia. Masih terlalau banyak bidang ilmu pengetahuan yang perlu kita pelajari dan masih terlalu banyak bidang kehidupan yang mesti kita terokai. Walau bagaimanapun apakah harapan yang boleh kita letakkan terhadap generasi yang leka dan dilalaikan dengan hiburan. Kita melihat generasi hari ini disogokkan dengan hiburan siang dan malam. Kita dikhayalkan dengan lakonan dan nyanyian pagi dan petang, dipukau oleh hero dan heroin Hindustan, tidak kira had , tidak kira sempadan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan cerita Hindustan atau Bollywood yang dibangkitkan oleh Majlis Mufti-Mufti SeMalaysia baru-baru ini nampaknya benar-benar menggemparkan masyarakat. Berbagai-bagai pihak menyatakan sokongan mahupun bantahan. Sebenarnya isu ini telah lama dikatakan bukan sahaja oleh golongan bidang keagamaan malah turut disuarakan oleh pihak seniman dan karyawan tempatan yang cintakan jati diri bangsa dan merasai tanggungjawab terhadap agama. Tetapi apabila ini disuarakan oleh pihak yang paling berotoriti dalam agama maka persoalan ini menjadi satu isu yang tidak harus dipandang sebelah mata.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Allah berfirman di dalam surah Hud ayat 15 – 16 :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لاَ يُبْخَسُونَ(15)أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ(16)

Ertinya :

Barangsiapa yang mahukan kehidupan di dunia dan segala perhiasannya nescaya kami sempurnakan balasan usaha mereka dan mereka tidak dikurangkan sesuatupun di dunia ini. Tetapi mereka itulah golongan yang tidak mendapat sebarang sesuatu di akhirat kecuali neraka Allah, lenyaplah segala manfaat usaha mereka ketika di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mungkin sebahagian kita bertanya kenapa filem Hindustan ini begitu dibimbangi dan menjadi sasaran golongan agama pada masa ini. Gambaran dibuat seolah-olah hanya filem Hindustan sahaja akan membawa kesan buruk terhadap masyarakat dan mesti diperangi habis-habisan. Sebenarnya persoalan kesan dan pengaruh filem ini telahpun disuarakan oleh ulamak-ulamak Islam semenjak peti televisyen mula diperkenalkan di negara ini. Ulamak telah mengingatkan masyarakat tentang kesan filem-filem barat atau Hollywood. Ulamak telah menegur tentang pencemaran budaya hidup yang ditonjolkan melalui filem Hong Kong. Ulamak turut menentang unsur-unsur khurafat dan tahyul yang diselitkan di dalam filem tempatan. Oleh yang demikian apabila filem-filem Hindustan ini begitu diberi tempat yang terlalu istimewa di media massa tempatan, maka tidak dapat tidak menjadi tanggungjawab ulamak membuat teguran. Ulamak tidak pernah memilih bulu dalam membuat teguran terhadap umat. Ulamak tidak memilih golongan tertentu untuk ditegur tetapi ulamak wajib menegur setiap kali kemungkaran dilaksanakan. Sabda Rasulullah S.A.W :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذلِكَ اَضْعَفُ اْلأيْمَانِ

Ertinya :

Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.

Sidang Jumaat Sekalian,

Perintah Rasul ini bukanlah semata-mata ditujukan kepada ulamak sahaja, tetapi siapakah yang mahu menjalankan perintah Allah ini selain daripada ulamak. Mereka yang mempunyai kuasa tidak mahu menggunakan kuasanya. Mereka yang boleh bercakap tidak memilih untuk memperkatakan kebenaran. Mereka yang boleh menulis lebih suka menulis sesuatu yang memutarbelitkan kebenaran. Maka kita melihat hari ini hanya ulamak yang sanggup memperkatakannya semata-mata kerana takutkan Allah. Allah berfirman dalam surah al-Fathir ayat 28 :

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Ertinya :

Hanyasanya yang takutkan Allah dari kalangan hambanya adalah ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Sidang Jumaat Sekalian,

Inilah buktinya silapnya dakwaan mereka yang mengatakan ulamak bukan semestinya mereka mempunyai ilmu pengetahuan agama. Silap jika kita mengatakan seseorang boleh dipanggil ulamak jika mempunyai kemahiran dunia walaupun tidak memahami langsung ajaran agama. Terlalu silap jika kita mengatakan pakar perubatan dan pakar perundangan juga dipanggil ulamak walaupun ilmunya bertentangan dengan Islam. Sesungguhnya yang dikatakan sebagai ulamak adalah mereka yang mempunyai ilmu dan ilmunya itu mendidiknya menjadi hamba yang takutkan Allah, sedangkan pada hari ini kita melihat mereka yang cukup tinggi ilmunya tetapi tidak takutkan Allah. Ketika mana mufti-mufti cuba mencegah kemungkaran, golongan bijak pandai juga turut menyumbang ke arah kemungkaran. Ketika kita cuba mengurangkan kesan negatif di bidang penyiaran berbagai-bagai pihak menyatakan bantahan termasuk ahli-ahli akademik di institusi pengajian tinggi.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kalau kita mengkaji dengan teliti maka kita akan dapati kesan buruk filem Hindustan terhadap masyarakat dan akidah umat Islam sukar untuk kita nafikan. Kita melihat penghinaan terhadap tuhan dan agama di mana pelakon memaki hamun tuhan mereka kerana ditimpa kecelakaan lalu digambarkan akhirnya tuhan mereka terpaksa menyelesaikan masalah mereka. Kita melihat pelakon –pelakon yang menjadi pujaan remaja masa kini yang dengan megahnya memakai rantai salib dan sujud menyembah berhala walaupun mereka beragama Islam. Kita sudah melihat kesan kepada akidah umat Islam di mana ramai anak-anak kita sanggup membotakkan kepala untuk berlakon sebagai Sami Buddha dalam filem Hollywood yang dibuat pengambaran di dalam negeri ini sedikit masa lalu. Kita melihat penonjolan pelakon-pelakon yang cantik dan seksi ditambahkan dengan tarian yang menghairahkan menjadi umpan untuk menarik minat masyarakat. Kita melihat budaya agama itu sama tarafnya, seolah-olah mahu diterapkan kepada masyarakat seperti perkahwinan berlainan agama, kepelbagaian agama dalam satu keluarga, kebebasan meninggalkan agama, budaya dan keluarga demi kerana cinta dan kasih sayang yang tidak sewajarnya sentiasa menjadi fokus utama dalam setiap cerita. Dan yang paling parah kita melihat mesej utama yang sentiasa dipaparkan ialah walau apapun permasalahannya hanya tuhan mereka atau agama Hindulah yang mampu menyelesaikannya.

Sidang Jumaat Sekalian,

Bukankah ini semua dapat kita lihat sebagai satu ancaman terhadap keutuhan bangsa dan agama kita. Jika kita sebagai umat Islam tidak berusaha untuk menyekatnya maka kepada siapakah lagi yang hendak kita harapkan. Jika pandangan pihak yang paling berotoriti dalam agama juga tidak kita hayati, apakah lagi yang akan menjadi benteng mempertahankan agama kita di kemudian hari.

Sidang Jumaat Sekalian,

Kita bersyukur kehadrat Allah kerana usaha kita ini telah membuahkan hasil. Setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada Kementerian Penerangan kerana mengambil langkah mengurangkan tayangan di semua stesyen televisyen. Ini menjadi bukti peranan ulamak dalam memperbaiki kehidupan umat masih dihargai. Walau bagaimanapun bagi yang mempertahankan filem ini hisablah diri sendiri. Jika kita tidak mampu memperbaiki umat maka jangan kita bersekongkol dengan gerakan yang cuba merosakkannya. Bagi para akademik yang dikurniakan Allah dengan akal yang boleh memikir, maka jangan dikesampingkan asas keimanan supaya kita tidak hanyut dalam pemikiran yang dikuasai oleh syaitan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Tiada ulasan: