Jumaat, 8 Ogos 2008

DOSA MEMBAWA BINASA

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya jika asasnya hanya kerana mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Sudah banyak bangsa yang terusir dari tanahair, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja yang saleh yang memiliki sejumlah sifat keunggulan menurut piawaian tuhan. Pewaris yang mendapat jaminan tuhan adalah al-Solehun iaitu mereka yang menggabungkan iman dengan amal saleh. Kuat kerjanya di atas muka bumi ini sekuat hubungannya dengan Allah. Ini adalah sifir sejarah semenjak dahulu lagi. Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 105 :

Maksudnya :

Dan sesungguhnya telah kami tuliskan di dalam Zabur sesudah ( kami tulis di dalam ) Luh Mahfuz bahawasanya bumi ini dipusakai hambaku yang salih.

Ketetapan tuhan melalui sejarah ini membuktikan hakikat bahawa unggul atau hancurnya sesuatu bangsa tergantung kepada perilaku moral mereka samada menepati piawaian tuhan atau sebaliknya. Penentu nasib sesuatu bangsa adalah kudrat dan iradat Tuhan yang Maha Kuasa. Tuhanlah yang menyelamatkannya dan tuhan juga yang menghancurkan mereka dengan cara yang dikehendakinya apabila buruk akhlak mereka telah sampai ke puncaknya. Demikianlah yang terjadi kepada kaum Lut, penduduk Madyan, Kaum Ad dan Thamud, Firaun, Qarun dan Hamman. Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 40 :

Maksudnya :

Maka tiap-tiap (mereka itu) kami siksa disebabkan dosa mereka, maka di antara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan ada di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguruh dan di antara mereka ada yang kami tenggelamkan dan Allah sekali-kali tidak hendak menginaya mereka, akan tetapi merekalah yang menginaya diri mereka sendiri.

Empat jenis contoh azab yang ditimpakan Allah ke atas bangsa-bangsa yang tadinya gagah perkasa sehingga tiba-tiba sekelip mata hilang di dunia bukan penganiaan tuhan ke atas manusia tetapi akibat dosa-dosa kezaliman mereka sendiri. Demikianlah hakikat dosa membawa binasa. Dapatlah dibayangkan nasib bangsa yang telah hilang kesedaran tentang dosa yang ditandai gejala meluasnya budaya kesewenang-wenangan melakukan kezaliman, penipuan, pembaziran, pembolotan dan pelbagai dosa lagi .

Kalau di tinjau perkembangan mutakhir di negara kita, agaknya kebiadapan bangsa Melayu terhadap tuhannya sudah hampir ke kemuncaknya dengan pendedahan cerita kumpulan anak-anak muda kita anti tuhan dan memuja syaitan kumpulan Black Metal. Bermula dengan kegilaan terhadap muzik-muzik rock. Kita tidak terfikir bagaimana boleh sanggup orang-orang Islam boleh memijak al-Quran sambil minum arak dan mendengan muzik yang diakhiri dengan kencing di atas al-Quran. Satu jenayah jijik yang tidak pernah dilakukan walaupun orang bukan Islam.

Mengambil kesempatan ini Mimbar Jumaat menggesa para penjaga, tolong sensitif terhadap perubahan anak atau cucu-cucu kita. Golongan ini dapat dikesan melalui beberapa tanda antaranya :

· Sering berpakaian bewarna hitam.

· Memakai rantai salib atau bintang lima bucu.

· Amat fanatik dengan muzik-muzik rock.

· Mempunyai tanda di dagu mereka.

Bertambah malang dengan isu ini hebat diperkatakan beriringan pula dengan isu pencapaian buruk pelajar kita di pusat-pusat pengajian tinggi disambut pula dengan pelawaan kepada kaum Cina untuk mendirikan sebuah universiti. Tentunya ada sebabnya apabila al-Quran berulang-ulang menegaskan hakikat bahawa dosa membawa binasa seperti dalam firman Allah dalam surah al-An’am ayat 6 :

Maksudnya :

Apakah mereka tidak memerhatikan beberapa banyak generasi yang telah kami binasakan sebelum mereka, pada hal (generasi itu) telah kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah kami berikan kepada kamu dan kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka kemudian kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan kami ciptakan sesudah generasi yang lain.

Kekuatan dan kegagahan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Bagi tuhan terlalu mudah untuk membinasakan apa yang dikehendakinya. Hancurnya kaum Ad dan kaum Thamud, karamnya Firaun dan Hamman dan tenggelamnya Qarun ditelan bumi tidak pernah ditangisi sebagai satu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Setiap yang pergi akan segera ada penganti yang lebih berkualiti.

Namun manusia selalu lupa apabila mendapat harta, kuasa, diuji dengan nikmat kestabilan dan keamanan. Mereka lupa bahawa semuanya itu adalah milik Allah. Manusia hanya pemegang amanah yang diuji samada ia memiliki syarat kontrak dan mandat pemiliknya iaitu Allah atau ia memperlakukannya sebagai hak milik sendiri, lalu bertindak sewenang-wenangnya, bermaharajalela seolah segala khazanah dia yang punya. Manusia yang terpedaya dengan nikmat dan memandang remeh persoalan dosa itulah yang dibinasakan tuhan dengan cara yang dikehendaki ada yang dihancurkan menerusi bencana yang menimpa secara tiba-tiba, ada yang dibinasakan dengan adu domba sesama sendiri, ada yang dihabisi melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak, kegawatan ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Perkataan dosa yang membawa binasa itu kadang-kadang bertukar ganti dengan perkataan kezaliman. Maksudnya tuhan membinasakan sesuatu bangsa apabila mereka berleluasa melakukan kezaliman seperti mendusta dan menganiaya para rasul serta orang-orang yang beriman, mempersenda ayat-ayat serta hukum-hakam tuhan dan lain-lain hal yang dicakupi oleh istilah zalim dalam erti yang luas. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 59 :

Maksudnya :

Dan (Penduduk) negeri itu telah kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.

Memang sudah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan lalu binasakan Allah, mereka segera digantikan oleh generasi lain yang benar-benar lain watak dan kualitinya. Pengantian generasi itu berlaku kerana sebab-sebab tertentu, terutama apabila mereka telah mengalami mabuk harta dan kehidupan dunia lalu menjadi rakus, bakhil dan mementingkan diri sendiri. Hakikat inilah yang diungkapkan dalam surah Muhammad ayat 36-38 :

Maksudnya :

Sesungguhnya kehidupan dunia itu adalah permainan dan senda gurau belaka. Jika kamu beriman dan bertaqwa nescaya Allah berikan pahala-pahala kamu dan tidak meminta harta kamu. Jikalau Allah meminta dan mendesak kamu, nescaya akan bakhillah kamu dan akan diperlihatkan keburukan kamu.

Itulah kamu ! Kamu telah diseru untuk membalanjakan hartamu pada jalan Allah. Maka setengah daripada kamu ada yang bakhil, sesungguhnya ia bakhil kepada diri sendiri. Dan Allah Maha Kaya sedang kamu adalah sangat faqir. Dan jika kamu berpaling, nescaya akan digantikan kamu dengan kaum lain dan mereka (yang lain itu) tidak akan sama dengan kamu.

Petikan ayat di atas memberikan gambaran tentang kehidupan yang tidak pernah serius, terlalu banyak sandiwara yang serba pura-pura. Mereka yang tenggelam dalam kehidupan serupa itulah yang diperingatkan agar menyedari bahawa arus hidup harus diisi dengan iman dan taqwa, bukan sandiwara dan lakonan. Harus dibuktikan dengan kesanggupan berkorban, membelanjakan harta kekayaan itu sebenarnya bukan miliknya tetapi milik Allah. Apabila sesuatu generasi bangsa sudah membelakangkan sikap dan kesedaran tersebut tamatlah riwayat mereka dan akan menyusullah generasi yang lain yang punya sikap yang baik dan sihat.

Isu penggantian suatu kaum dengan kaum yang lain disebut berulangkali dalam al-Quran. Misalnya dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 38-39, tuhan telah memberikan amaran kepada mereka yang kehilangan ghairah perjuangan, mereka mula mabuk dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara dan tidak seberapa, lupa dengan habuan akhrawi yang berganda-ganda.

Demikianlah hakikatnya, kesenangan dan kemewahan duniawi yang membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang. Lupa matlamat asal perjuangan. Kesimpulannya nasib sesuatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Sesuatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat untuk kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik. “ Adapun buih itu, akan hilang sebagai bahan yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia maka ia tetap di bumi ”. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan dalam surah al-Ra’d ayat 17 :

Maksudnya :

Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengembang. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.

Kalimah-kalimah al-Zabad (buih) adalah symbol bangsa tanpa kualiti, tanpa isi. Yang ada hanya gelombang kosong yang serba rapuh, sewaktu-waktu boleh pecah dan menghilang dari dunia. Apalah yang dapat disumbang oleh buih, berapalah sangat harga segunung buih.

Tiada ulasan: