Ahad, 6 Januari 2008

Jawapan Terhadap Salah Faham Hadith

Prof Madya Dr Fauzi bin Deraman
Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

PENDAHULUAN:

Islam sebagai syariat terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia sejagat. Syariat yang lengkap dan sempurna dengan bersumberkan wahyu; al-Qur’an dan Hadith. Dua sumber tertinggi yang telah disepakati seluruh umat Islam sepanjang zaman.
Namun begitu, setelah sekian lama ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditambah pula dengan serangan dari musuhnya dari segenap penjuru, terdapat berbagai salah faham di kalangan umat Islam sendiri terhadap sumber utama Islam tersebut.
Kertas ini akan hanya memberikan gambaran umum mengenai salah faham terhadap Hadith Nabi s.a.w. dan disertakan penjelasan mengenainya.

PENGERTIAN:
Di segi etimologi perkataan hadith yang berasal dari bahasa Arab itu mempunyai beberapa pengertian, iaitu

i. Baharu lawan bagi qadim.
ii. Berita atau khabar.
iii. Peristiwa atau kejadian yang telah lama berlaku atau baru terjadi.
iv. Perutusan atau perkataan.
v. Kesah atau cerita. Perkataan hadith disebut dalam al-Qur’an sebanyak 18 kali, manakala
hadithan pula sebanyak lima kali , ahadith (dalam kata jamak) sebanyak lima kali juga.

Perkataan hadith mengikut pemakaian al-Qur’an digunakan untuk beberapa makna yang umumnya tidak banyak berbeda dengan pengertian hadith menurut bahasa seperti yang telah disebutkan sebelum ini iaitu:

1. Digunakan dengan makna percakapan, perkataan atau kisah yang keluar dari mulut.
2. Cerita mengenai sejarah.
3. Ditujukan kepada al-Qur`an sebagai kalam (perkataan) Allah.
4. Perkhabaran atau berita samada berhubung dengan soal keagamaan atau keduniaan dari
zaman silam atau masa kini.

Berkemungkinan definisi hadith menurut istilah adalah kesimpulan dari pemakaian al-Qur`an terhadap perkataan tersebut.
Terdapat berbagai definisi hadith menurut terminologi. Para muhaddithin telah memberikan definisi yang berbeda pada ungkapannya, Perkara ini adalah fenomena biasa dalam perkembangan sesuatu ilmu untuk mencapai tahap kematangannya, masing-masing tokoh memberi sumbangan ke arah pemantapannya, dengan itu, tiada percangahan di kalangan mereka.
Dengan diperturunkan takrifan yang diberikan oleh para muhaddithin, dapat dilihat perkembangan tersebut.
Imam Ibn Hajar :
“Hadith ialah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.
Definisi ini berbentuk umum dan mujmal. Bertitik tolak dari definisi inilah ulama terkemudian telah memperincikan lagi.

Ali al-Qari (m.1016H) telah mentakrifkan hadith sebagai “Apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. dari sabdaan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, samada semasa jaga atau tidur”.

Jamal al-Din al-Qasimi: “Apa saja yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. daripada sabdaan, perbuatan, taqrir atau sifat”.

Muhammad Ajaj al-Khatib: “Segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, taqrir atau sifat samada sifat fizik atau akhlak, sirah samada sebelum atau sesudah menjadi Rasul”.

Definisi ini, menurut Dr Mustafa al-Siba’i adalah takrifan kebanyakan para muhaddithin. Hadith dalam pengertian ini adalah sinonim kepada al-Sunnah.

Namun begitu, ada setengah ulama cenderung untuk membedakan antara hadith dan sunnah. Sayyid Sulayman al-Nadwi dalam ulasannya menyebut yang sunnah menurut mereka adalah nama bagi perbuatan atau amalan Rasulullah s.a.w. yang diterima secara mutawatir sedangkan hadith adalah periwayatan secara lafdhi bagi sabdaan, laku perbuatan dan keadaan Rasulullah s.a.w..
Jika dirujuk kepada pandangan setengah kalangan salaf al-salih, perbedaan itu semakin jelas. Al-A`masy (m.148H) berkata: Saya tidak mengetahui satu kaum yang lebih baik dari kaum yang mempelajari hadith dan mengasihi sunnah.
Abdul Rahman al-Mahdiy (m.198H) apabila ditanya mengenai Imam al-Awza’iy (m.157H), Sufyan bin `Uyaynah (m.198H) dan Malik (m.179H), siapakah di antara ketiga itu yang lebih alim? Beliau menjawab: “Sufyan imam dalam hadith dan bukan iman dalam sunnah, Awza’iy imam dalam sunnah dan bukan imam dalam hadith, sedang Malik adalah imam dalam hadith dan imam dalam sunnah”.
Jelas dari pandangan dua tokoh ini yang ada perbedaan antara hadith dan sunnah khusus dari aspek skop dan penekanan, pandangan dan penghayatan. Ini adalah merujuk kepada pandangan umum pada ketika itu.
Sama ada hadith atau Sunnah, ia merujuk kepada hakikat yang satu. Gambaran ini juga menunjukkan betapa teliti dan cermatnya penilaian ulama terdahulu, terutama dalam perkara yang menyentuh personaliti orang lain.
Kesimpulannya, hadith dan sunnah adalah dua istilah yang merujuk kepada hakikat yang satu iaitu Rasulullah s.a.w. dan yang terbit dari baginda.

KEHUJAHAN HADITH:

Hadith atau Sunnah adalah sumber hukum yang kedua selepas al-Qur`an. Sama seperti al-Qur`an, ketentuan hukum; halal, haram, harus, wajib dan sunat boleh dithabitkan dengannya. Umat Islam wajib beramal dan berhukum dengannya, tidak boleh sama sekali menyanggahinya. Perkara ini telah diterima oleh umat Islam zaman berzaman.
Kedudukan hadith dalam Islam tidak pernah dipertikaikan oleh generasi awal Islam yang hidup di zaman cahaya Islam masih segar. Suara sumbang terhadap hadith ini dimulakan oleh segelintir dari mereka yang mengaku Islam yang telah dikenali latar belakang mereka. Ia sedikit pun menjejaskan kedudukan hadith Nabi s.a.w. Sukar digambarkan bagaimana seorang yang berkata saya seorang Muslim, yang waras fikirannya tiba-tiba mempertikaikan hadith sedangkan itu sudah cukup untuk membuktikan ia tidak mengiktiraf agama Islam keseluruhannya, dari awal hingga ke akhirnya.

KEKELIRUAN TERHADAP KEHUJAHAN AL-HADITH DAN PENJELASANNYA:

Telah sepakat umat Islam yang sumber Islam adalah al-Qur`an, al-Hadith dan sesudah itu ijma` ulama. Sesiapa yang meninggalkan hadith samalah dengan meninggalkan al-Qur`an kerana ia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya. Hadith yang tidak terpisah dengan Rasulullah s.a.w.. Sedangkan kedudukan Rasulullah s.a.w. begitu tinggi dan istimewa bagi umat Islam. Allah s.w.t. telah memilih Baginda s.a.w. sebagai pemberi penjelasan bagi perkara yang dikehendakiNya, memperincikan perkara yang umum yang diturunkanNya, menentukan peraturan seperti yang dikehendakiNya. Semua yang bersumberkan dari Baginda s.a.w. adalah benar kerana apa yang keluar dari mulutnya adalah wahyu. Justeru Allah s.w.t. memerintahkan supaya beriman kepadanya dan mematuhinya. Menderhakai baginda akan mengundang kemurkaan Allah dan berhadapan dengan kerugian besar.
Sesiapa sahaja yang enggan mengikut perintahnya benar sekaligus menafikan keimanan terhadapnya. Beliau adalah uswah bagi setiap yang beriman. Apa jua yang dibawa dari wajib diterima, apa yang dilarang hendaklah dijauhi.

Firman Allah: وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59:7)

Firman Allah: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat.” (Surah al-Ahzab, 33:21)

Dalam keadaan kedudukan baginda yang begitu tinggi dan istimewa, sempurna serba serbinya, namun hadith-hadith baginda masih berhadapan dengan ujian dan halangan, malah dimusuhi. Di zaman awal, bila didapati Abd Allah bin Amr bin al-`As menulis semua yang didengarnya dari Rasulullah s.a.w., terdapat kata-kata yang semacam mempertikaikannya: “Apakah kamu menulis semua dari Rasulullah s.a.w. sedang ia adalah manusia yang berkata semasa suka dan marah? Namun keraguan itu terpadam apabila baginda berkata kepada Abd Allah selepas disampaikan perkara tersebut: Tulislah! Demi Diriku berada ditanganNya, tidak akan keluar darinya – dengan menunjukkan ke mulutnya – melainkan yang benar sahaja.

Peri wujudnya golongan cuba melahirkan salah faham terhadap hadith itu telah disebut dalam amaran Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya: “Akan ada orang yang disampaikan hadith dariku dalam keadaan ia berbaring di atas rusuknya seraya berkata: Antara kami dengan kamu Kitab Allah. Apa yang kami dapati pada halal maka kami akan menghalalkannya, apa yang kami dapati haram akan kami haramkannya, sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasul Allah sebagaimana yang diharamkan oleh Allah”. Tinggal lagi harus dibezakan apakah cakap-cakap sedemikian berpunca dari kejahilan penuturnya ataupun keyakinannya.

Mungkin ada di kalangan orang Islam yang bercakap sedemikian didorong oleh kesungguhannya untuk mengikut al-Qur`an tetapi tidak mengerti maksud ikutan yang dituntut oleh Islam. Sebagaimana berlaku kepada seorang lelaki yang datang kepada Imran bin al-Husyain dan berkata: Bercakaplah kepada kami dengan kitab Allah dan jangan dengan selainnya! Lantas Imran menempelaknya dengan berkata: Sesungguh kamu seorang yang bodoh! Adakah kamu dapati dalam kitab Allah solat zohor empat rekaat dan tidak dijaharkan…”

Peristiwa yang serupa juga dialami oleh seorang tabi`in terkenal, Mutraf bin Abd Allah al-Shukayr, apabila seorang lelaki berkata kepadanya: Jangan bercakap kepada kami kecuali dengan al-Qur`an sahaja! Jawab Mutraf: Demi Allah kami tidak mahu dengan al-Qur`an itu gantian tetapi yang kamu mahu siapa yang paling tahu mengenai al-Qur`an itu dari kami!

Umayyah bin Khalid yang mencari penyelesaian semua masalah dalam al-Qur`an telah berkata kepada `Abd Allah bin `Umar: Kami dapati solat bagi orang yang menetap disesuatu tempat dan solat dalam keadaan ketakutan dalam al-Qur`an tetapi tidak ditemui mengenai solat bagi mereka yang bermusafir dalam al-Qur`an. Jawab Abd Allah: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya Allah telah mengutus untuk kami Muhammad s.a.w. dalam keadaan kami tidak mengetahui sesuatupun, sesungguhnya kami beramal sebagaimana Rasulullah s.a.w. beramal.

Dalam kes-kes ini dan yang seumpamanya, idea itu sebenarnya bukan mewakili mana-mana mazhab umat Islam tetapi satu pandangan yang spontan yang mahu menunjukkan kepekaan generasi salaf al-salih dalam membetulkan tanggapan dan pandangan yang silap yang berlaku dihadapan mereka. Kes-kes sebegini hanyalah kes-kes terpencil sahaja dan tidak mewakili umat keseluruhannya.
Menurut Dr al-Siba`iy, pemikiran menolak hadith sebagai sumber perundangan Islam muncul pada Kurun Kedua Hijrah, bilamana Imam al-Shafii memuat dialog beliau dengan kumpulan tersebut dalam al-Umm dan al-Risalah. Mereka adalah dari kalangan Batiniyyah, Muktazilah dan Khawarij menyuarakan supaya dibatalkan sahaja hadith dan berpada dengan al-Qur`an sahaja. Dinyatakan oleh Imam al-Shafii dalam bab "Hikayah qawl Ta`ifah al-lati raddat al-akhbar kulluha" dan bab "hikayah qawl man radd khabar al-Khassah".
Imam al-Suyuti juga ada menyentuh mengenai isu ini dalam karya beliau Miftah al-Jannah fi al-Ihtijaj bi al-Sunnah dengan menerangkan sumber pandangan mereka dan zaman kewujudannya. Antara lain beliau menyatakan keanihan golongan ini yang menyesatkan para sahabat Nabi s.a.w. dan menolak hadith kerana mereka yang meriwayatkannya tetapi boleh menerima al-Qur`an yang juga telah diriwayatkan oleh para sahabat. Ringkasnya, umat Islam sependapat dalam penerimaan mereka terhadap hadith sebagai salah satu sumber syariat Islam dan mereka menunjukkan komitmen mereka terhadapnya. Di zaman moden ini pula serangan terhadap sunnah muncul semula memasuki era baru yang lebih tersusun yang melibatkan beberapa kalangan.
Dunia Islam yang suatu masa tunduk seluruhnya kepada kekuasaan penjajah dan mereka berjaya melenyapkan Khilafah Islam pada abad yang lalu. Kemudiannya dibebaskan dari cengkaman penjajahan, namun penjajah telah menyediakan penerus dengan menjajah pemikiran anak-anak tanah jajahan dan menyediakan usaha yang tersusun dari dalam dan munculnya berbagai institusi dan kumpulan yang melaksanakan niat jahat mereka. Berbekalkan dengan kajian dan penilitian yang dibuat yang berlabelkan sebagai kajian ilmiah, lahirkan tulisan-tulisan dalam berbagai bentuk dan saiz, yang memuatkan pemikiran beracun.
Teliti sahaja serangan oleh Goldziher melalui Muhammedanische Studien (1890), kemudiannya The Origins of Muhammadan Jurisprudence enam puluh tahun kemudian oleh Schacht, H.A.R Gibb melalui Muhammadanism An Historical Survey. Nama-nama lain seperti Sprenger, Hurgronje, Juynboll, Robson dan lain sering menjadi rujukan.
Tidak kurang juga dengan tulisan-tulisan penulis-penulis lain seperti Tawfiq Sidqy, Ahmad Amin dan anaknya, Husain Amin, Ismail Adham, Mahmud Abu Rayyah dan lain-lain sekedar menyebut beberapa nama.
Di India, lahir Sayyid Ahmad Khan, Abdullah Chakralui, Ahmad al-Din al-Amritsari, Ghulam Ahmad Bruez dan lain. Menurut Dr Khalil Ibrahim Mulla Khatir al-`Azami, aliran moden yang menyerang hadith Nabi (s.a.w.) ini telah menggunakan dua pendekatan:
1. Mentajrih individu yang menjadi periwayat kepada hadith seperti sahabat-sahabat dengan
mengadakan tuduhan seperti kononnya mereka berguru dengan Yahudi. Mereka juga
mentajrih para tabiin besar sebagai mencipta dan meriwayatkan hadith-hadith palsu.
2. Menikam hadith secara langsung. Ini termasuklah mempertikaikan autoriti hadith itu sendiri
sebagai sandaran Islam, mempertikai sesetengah jenis hadith seperti hadith ahad yang
kononnya tidak cukup kuat untuk dijadikan hujjah, meragui periwayat hadith, mempertikai
keabsahan sanad dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadith, meragui karya-karya utama
hadith seperti Sahih Imam Bukhari dan Muslim.

Malah tidak kurang juga yang mendakwa berpada dengan al-Qur`an dan hadith-hadith fi`li yang mutawatir sahaja, menyeru kepada pemikiran tajdid dan menolak hadith sama sekali. Rata-rata kekeliruan dan salah faham terhadap hadith ini ada yang sumbernya dari musuh-musuhnya yang sengaja mencari dalihan bagi mempertikai status dan autoriti hadith dan ada juga yang bersumber dari pencinta hadith tetapi tidak memahami hakikat hadith yang sebenar.

Penulis akan memaparkan salah faham dari kedua-dua sumber tetapi akan membataskan kepada yang penting sahaja.

1. Ragu terhadap sumber hadith:

Ada kalangan yang meragui hadith kerana ia bersumber dari Nabi Muhamad seorang manusia. Tidak wajar untuk patuh dan taat kepada manusia dan dikaitkan dengan ibadat kerana manusia tidak sempurna dan terdedah kepada berbagai kekurangan dan kesilapan. Mungkin inilah puncanya ada dari kalangan pertama dahulu yang melarang Abdullah bin Amr bi al-`As menulis apa yang didengarnya dari Rasululah (s.a.w.). Namun mereka akur apabila ditegaskankan apa jua yang keluar dari Rasulullah (s.a.w.) adalah benar. Lantas, mereka sedar bahawa Rasulullah (s.a.w.) tidak sama dengan mereka, walaupun baginda (s.a.w.) juga adalah manusia.
Rasul diutuskan untuk melaksanakan tugas yang telah ditentukan oleh Allah, antaranya menyampaikan perintahNya kepada manusia. Rata-rata kesemuanya dari kalangan manusia bukannya makhluk yang lain kerana manusia sahaja yang dapat melaksanakan tugas tersebut dengan baik untuk sesama manusia berbanding dengan makhluk lain. Andainya Rasul itu dari kalangan malaikat sudah tentu terdapat kesulitan yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak kerana terdapat perbedaan yang cukup banyak diantara malaikat dan manusia. Justeru Allah memilih rasul itu dari kaum itu sendiri yang mengetahui serba serbi yang berkaitan.
Firman Allah:
وَمَا ارْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ الَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ
(Kami tidak mengutus seorang Rasulpun melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka.) Memang Rasul adalah manusia, wahyu adalah yang membezakan antara Rasul dan orang lain.
Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُون
(Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasulpun melainkan Kami Wahyukan kepadanya:”Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu beribadatlah kamu kepadaKu).
Firman Allah:

وَمَا ارْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ اِلَّا رِجَالًا نُوحِي اِلَيْهِمْ مِنْ اهْلِ الْقُرَى
(Kami tidak mengutuskan sebelum kamu, melainkan orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri).

Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ
(Kami tidak mengutuskan sebelum kamu, melainkan orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepada mereka.) Malah khusus bagi Nabi (s.a.w.),

Allah berfirman:
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ َ
(Dan katakanlah: Bahawa aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa..) Rasul diutus berperanan sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran.
Firman Allah:
وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ
(Dan tiadalah kamu utuskan Rasul-rasul itu melainkan pembawa khabar gembira dan pemberi amaran). Sebelum itu, mereka adalah penyampai dan penerang kepada manusia.
Firman Allah.
وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
(Dan kewajipan Rasul itu, tidak lain hanyalah menyampaikan (agama Allah) dengan penjelasan yang seterang-terangnya). Tanpa perutusan para Rasul-rasul ini berbagai hujah akan dilontar kepada Allah dan menyalahkannya.
Justeru FirmanNya:
لِأَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ
(Supaya tidak ada lagi bagi manusia sesuatu hujjah (atau alasan dalihan pada Hari Kiamat kelak) setelah perutusan Rasul-rasul.) Rasul-rasul termasuk Rasulullah s.a.w. apabila menyampaikan ajaran dari Allah adalah untuk ditaati dan dipatuhi perintahnya itu. Jika tidak apalah makna perutusannya itu.
Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ
(Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah).

2. Mengikut hadith bererti taat kepada sesama makhluk:

Dalam usaha untuk meremahkan hadith Nabi (s.a.w.), golongan penentangnya mengatakan seorang Muslim itu hanya diwajibkan patuh dan taat kepada Allah sahaja iaitu terhadap al-Qur`an sahaja. Ketaatan kepada Rasul hanyalah atas sifat pemerintah yang melaksanakan perintah Allah bukan atas sifatnya sebagai rasul.
Rasulullah s.a.w. bagi mereka sama seperti qadi, gabenor, khalifah, sultan atau seumpamanya yang dipatuhi dalam lingkungan perkara yang diperintahkan oleh Allah sahaja. Tersirat dari pandangan yang keliru ini betapa Rasul itu dipatuhi kerana diturunkan Kitab kepadanya dan bukan dengan perutusannya sebagai Rasul.
Sedangkan al-Qur`an menegaskan balasan baik atau sebaliknya adalah dengan perutusan bukan dengan turunnya Kitab.
Firman Allah:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
(Dan Kami tidak akan mengazab sehingga Kami mengutuskan seorang Rasul).
Firman Allah:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَى حَتَّى يَبْعَثَ فِي أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِي الْقُرَى إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَالِمُونَ
(Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Dia mengutuskan ke negeri itu Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami. Dan tidak menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.).

Jika penurunan kitab menjadi pra syarat ketaatan sudah tentu para sahabat Rasulullah s.a.w. hanya mentaatinya setelah al-Qur`an sempurna diturunkan di Madinah dan tiada dikira silap bila pemuka Quraysy menolak nabi di Mekah kerana al-Qur`an belum diturunkan sepenuhnya. Apakah itu benar? Oleh kerana Rasul adalah utusan dan pilihan Allah untuk hambaNya.
Allah telah memerintahkan supaya mereka ditaati perintahnya. Allah telah memfardhukan supaya Rasulullah s.a.w. ditaati, sekadarkan bentuk perintah itu sahaja yang berbeza.

i. Ada masa dalam bentuk perintah beriman kepada Rasul kerana perintah beriman kepadanya melazimkan kepatuhan kepadanya.
Firman Allah.
فَآمِنُواْ بِاللهِ وَرُسُلِهِ وَإِن تُؤْمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya, jika kamu beriman dan bertaqwa, maka bagi kamu pahala yang besar.” (Surah Ali-‘Imran, 3:179)

Iman kepada Allah tidak bermakna jika tidak disertakan penerimaan yang mutlak terhadap apa yang dibawa oleh Rasul.

ii. Kewajipan mentaati Rasul dalam bentuk digabungkan perintah beriman kepadanya dengan perintah beriman kepada Allah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ آمِنُواْ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
“Wahai orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasulNya.” (Surah al-Nisa’: 136)
فَآمِنُوا بِاللهِ وَرَسُولِهِ
“Maka berimanlah kepada Allah dan RasulNya.” (Surah al-Taghabun,64:8)

iii. Wajibnya patuh kepada Rasulullah kerana perintah Allah supaya mentaatinya.
Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللهِ
“Dan Kami tidak utuskan seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan izin Allah.” (Surah al-Nisa’, 4:64)
Taatkan Rasul merupakan tujuan utama dari perutusan mereka. Rasul kita (s.a.w) sebagai salah seorang dari Rasul-rasul tersebut secara langsung dirangkumkan dengan hukum tersebut.

iv. Digabungkan perintah taat kepada Rasul dengan perintah taat kepada Allah.
Firman Allah:
قُلْ أَطِيعُواْ اللهَ وَالرَّسُولَ فإِن تَوَلَّوْاْ فَإِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
“Katakanlah: Taati Allah dan Rasul, jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” (Surah Ali-Imran: 3:32)

Dijelaskan dalam ayat di atas mereka yang berpaling dari mentaati Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam kalangan orang-orang kafir yang tidak disukai Allah.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ
“Wahai orang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil-Amri (pemerintah) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) RasulNya.” (Surah al-Nisa’,4:59)

Dengan jelas Allah telah memerintahkan supaya mentaati RasulNya dan berhukum kepadanya jika ada perkara yang dipertikaikan di kalangan mereka. v. Perintah taatkan Rasul yang disebut bersendirian.
Firman Allah:
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيمًا
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah al-Nisa’, 4:65)

Setiap Muslim diperintahkan supaya menerima segala keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah (s.a.w) dan melaksanakannya. Ia merupakan pra syarat bagi mencapai tahap mukmin yang sebenar.
وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.” (Surah al-Nur, 24:56)
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59:7)

Setiap Muslim juga diperingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada supaya jangan sekali-kali bermaksiat kepada Allah dan bermaksiat kepada Rasul. Semuanya adalah dengan mentaati Allah dan Rasulnya.
وَأَطِيعُواْ اللهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَاحْذَرُواْ
“Dan taatilah Allah dan taatilah Rasul dan awaslah (jangan sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya.” (Surah al-Maidah, 5:92)

Dijelaskan juga yang balasan menyalahi Allah dan RasulNya dan menderhakai kedua-dua adalah kekal selama-lamanya dalam neraka.
FirmanNya:
وَمَن يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ
“Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab siksa yang amat hina.” (Surah al-Nisa’, 4:14)
Setiap mukmin juga dituntut untuk menyambut dan memenuhi seruan Allah dan Rasulnya. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَجِيبُواْ للهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُم لِمَا يُحْيِيكُمْ
“Wahai orang yang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan rasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.” (Surah al-Anfal, 8:24)

Allah SWT menjelaskan di antara sifat orang yang beriman ialah dengar dan patuh kepada hukum Nabi mereka.
Firman Allah:
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika diajak kepada Allah dan RasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan “Kami dengar dan kami patuh”. (Surah al-Nur, 24:51)
Setiap muslim diajak mengikut dan mencontohi Rasulullah s.a.w., malah tidak menyalahi dan menyanggahinya dalam setiap perintah dan larangannya.
Firman Allah:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat.” (Surah al-Ahzab, 33:21)

3. Hadith Rasulullah s.a.w. hanya berkuatkuasa semasa hayat Baginda sahaja.

Pihak yang mempertikaikan hadith membataskan ketaatan kepada Rasul s.a.w. terbatas semasa hayat baginda sahaja. Mereka berpendapat Rasulullah s.a.w. berautoriti hanya semasa hayatnya sahaja.
Telah disebut sejumlah ayat dimana Allah telah memerintahkan supaya mentaati Rasulullah s.a.w.. Jelas ia berbentuk mutlak dan tidak dikaitkan dengan faktor masa, sama sahaja kedudukannya samada semasa hayat Baginda atau selepas kewafatannya. Samalah keadaannya dengan larangan menderhakai Rasulullah s.a.w., ia berterusan dari semasa hayat Baginda atau selepas kewafatannya. Perintah tersebut tidak ditujukan kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. sahaja tetapi untuk semua umatnya sehingga Hari Qiamat. Kalau diterima alasan yang dibuat-buat ini nescaya Allah akan mengutuskan seorang rasul yang lain selepas kewafatan Baginda s.a.w.. Namun ia tidak berlaku kerana Rasulullah s.a.w. adalah Penyudah bagi sekalian rasul.

4. Hadith bukan wahyu.

Wahyu adalah makluman dari Allah untuk insan pilihanNya dari perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam atau selainnya.
Firman Allah:
وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَاء حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاء إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ
(Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu, atau dari sebalik tabir atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya.).

Ayat ini menjelaskan tiga cara wahyu disampaikan kepada para Rasul. Iaitu;

i. Disampaikan tanpa perantara, semasa jaga seperti ilham dan percakapan langsung, juga
semasa tidur sepert yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s.
ii. Dibelakang tabir. Seperti yang berlaku kepada Nabi Musa a.s..
iii. Dengan perantara Jibril a.s. Dimana Jibril datang dalam bentuk asalnya, atau menyamar
sebagai manusia dan dapat dilihat oleh orang lain, atau turun secara sulit dan tidak dapat
dilihat oleh orang lain.

Dalam konteks hadith pula, jika diteliti terdapat sejumlah ayat yang menjelaskan secara nyata yang ia adalah wahyu. Antaranya: Firman Allah:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (1) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (2) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَى (4)

(Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Muhammad), tidaklah ia menyeleweng dan tidak pula sesat. Dia tidak memperkatakan mengikut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan tidak lain adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.).

Begitu juga dengan perkataan al-Hikmah yang disebut ikutan kepada al-Kitab adalah merujuk kepada sunnah atau hadith Nabi (s.a.w.). Menurut Imam al-Shafii, saya mendengar orang yang diperakui keilmuan mereka mengenai al-Qur’an menyebut Hikmah itu adalah Sunnah Rasulullah s.a.w..
Diriwayatkan tafsiran al-Hikmah sebagai al-Sunnah dipetik dari Hasan al-Basri dan juga Qatadah sebagaimana disebut oleh Ibn Abi Hatim, Ibn Jarir dalam Al-Durr al-Manthur dan al-khatib dalam al-Faqih.
Disamping itu keterangan hadith dan athar yang menunjukkan yang ia adalah wahyu.
i. Makhul berkata: Rasulullah s.a.w.. bersabda: “Allah SWT mendatangkan kepada saya al-
Qur’an dari al-hikmah seumpamanya”. (Abu Daud dalam Marasil).
ii. Miqdam bin Ma’di Karib berkata yang Nabi s.a.w.. bersabda : Ketahuilah yang saya
dikurniakan al-Kitab dan seumpamanya bersamanya. (Ahmad, 4/130,131 dan Ibn Hibban,
1/173).
iii. Hissan bin Athiyyah berkata: Jibril turun kepada Nabi s.a.w. membawa al-Sunnah
sebagaimana ia turun membawa al-Qur’an. (Al-Darimi, 1/117).

5. Hadith bukan hujah dalam agama.

Telah dinyatakan dengan jelas kedudukan Rasulullah s.a.w. dan sikap Muslim terhadap bagi disegi kepatuhan terhadapnya. Apalah maknanya kepatuhan kalaulah apa yang diterima dari baginda itu bukan hujah dalam agama. Jika hadith tidak menjadi hujah dan pegangan dalam agama, bagaimana pula dengan ayat-ayat yang menganjurkan supaya berpegang dengan hadith dan beramal dengannya? Umpamanya:
• Ayat yang menggabungkan kecintaan kepada Allah dengan mengikut Rasulullah s.a.w. seperti
yang disebut dalam ayat 31 Surah Ali-`Imran.
• Ayat yang memerintahkan supaya mengambil segala apa yang dibawa oleh Rasul dan
meninggalkan segala yang dilarang, seperti pada ayat 7 Surah al-Hasyr.
• Ayat yang memberi amaran supaya jangan sekali menyalahi Rasulullah s.a.w., seperti ayat 63
Surah al-Nur.
• Malah al-Qur`an telah menggariskan antara syarat keimanan adalah dengan memilih Nabi
sebagai hakim bagi menyelesaikan segala perselisihan, seperti ayat 65 Surah al-Nisa’.
• Menjadikan Nabi s.a.w. sebagai uswah adalah jalan bagi mereka yang mengharapkan Allah
dan Hari Akhirat. Surah al-Ahzab ayat 21.

6. Semua yang diriwayatkan dari nabi hendaklah diterima.

Salah faham yang lahir dari mereka yang menghormati hadith tetapi tidak disokong oleh kefahaman yang sepatutnya. Apakah jaminan hadith yang diriwayatkan itu sah datangnya dari Nabi s.a.w.? Kalaupun benar ia diriwayatkan dari baginda, apakah status hadith tersebut?
Para Muhaddithin telah menyusun suatu kaedah yang sistematik bagi menjaga keaslian hadith dan membantu dalam mengenalpasti status sesebuah hadith. Ia lahir dari keperluan dan tuntutan semasa. Dengan itu pengetahuan mengenai usul al-hadith sangat diperlukan untuk tujuan tersebut. Hanya hadith yang memenuhi syarat yang diperlukan sahaja yang boleh diterima dan dijadikan hujah dalam Islam.

7. Semua yang terdapat dalam kitab hadith adalah hujjah

Di antara usaha yang dilakukan oleh para ulama hadith dalam memelihara hadith adalah dengan membukukan hadith. Hasilnya lahirlah karya-karya hadith yang susun dengan menggunakan metodologi yang berbagai pula.
Ada yang hanya memilih hadith hadith-hadith sahih sahaja seperti Sahih Imam al-Bukhari dan Sahih Imam Muslim. Ada pula yang menyusun berdasarkan kandungan hadith. Umpamanya kitab-kitab sunan yang memfokuskan hadith-hadith hukum sahaja yang dalam setengah keadaan memasukkan juga hadith-hadith yang lemah.
Tindakan menerima hadith secara borong tanpa melihat status dan latar belakangnya akan mendedahkan umat Islam berpegang dengan hadith yang lemah, seterusnya mengerjakan sesuatu amalan dalam agama tanpa dalil yang boleh dipertanggungjawabkan.
Satu fenomena yang merbahaya dalam berinteraksi dengan hadith ialah menerima hadith da`if dan menolak hadith yang sahih. Ada juga yang enggan beramal dengan sesuatu hadith dengan alasan ia tidak terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim seolah-olah hanya hadith yang terdapat dalam kedua karya utama itu sahaja yang sahih.
Imam al-Bukhari sendiri pernah menyebut hadith-hadith yang terdapat dalam karyanya adalah pilihan dari lebih 600 ribu hadith dan hanya memuatkan yang sahih sahaja. Banyak lagi hadith sahih yang tidak dimuatkan supaya ia tidak panjang. Ini menunjukkan masih banyak hadith-hadith sahih yang berada dalam karya-karya yang lain selain dua karya utama tersebut.

8. Tidak salah beramal dengan hadith da`if

Para Muhaddithin tidak sekata dalam menentukan hukum beramal dengan hadith da`if. Namun tidak ada yang membenarkan beramal dengan secara mutlak. Kalaupun ada yang mengharuskan ia hanya terbatas kepada perkara-perkara fada`il, targhib dan tarhib dan manaqib sahaja.
Sikap yang paling selamat adalah dengan menolak dari beramal dengan hadith da'if, dalam semua bidang termasuk yang berkaitan dengan targhib dan tarhib kerana dalam apa bidang sekalipun tidak memerlukan hadith da'if memandangkan terdapat begitu banyak hadith-hadith sahih mengenai targhib wa tarhib, fada'il dan kemuliaan akhlak yang wajar dijadikan pegangan tanpa menggunakan hadith-hadith da'if dalam perkara tersebut.
Beramal dengan hadith yang diterima sama ada sahih atau hasan adalah di tuntut dalam segala bidang termasuk perkara fada'il yang juga merupakan ajaran agama yang tidak kurang pentingnya. Hanya dengan beramal dengan apa yang datangnya dari Rasulullah s.a.w. sahaja akan menyelamatkan seseorang dari terjebak ke dalam perangkap pendustaan terhadap Nabi s.a.w..

9. Hadith tiada jaminan pemeliharaannya dari Allah. Yang mendapat jaminan hanyalah al-Qur`an, seperti secara jelas disebut pada ayat 9 Surah al-Hijr.

Satu alasan yang terlalu lemah untuk menolak hadith Nabi s.a.w.. Keupayaan menyaring hadith-hadith yang da`if dan palsu dari hadith yang sahih merupakan keistimewaan hadith dan membuktikan kecemerlangan ulama hadith dalam memberi khidmat terhadap hadith itu sendiri, yang sekaligus dapat memelihara ketulinannya.
Usaha untuk memadam cahaya kebenaran tetap menemui kegagalan kerana Allah menghendaki cahayaNya itu tetap sempurna. Merujuk kepada ayat 9 dari Surah al-Nur yang dijadikan hujjah itu,masih boleh dibincangkan kerana perkataan (lahu) yang terdapat pada ayat tersebut ditafsirkan oleh para ilmuan merujuk kepada syariat semuanya iaitu al-Qur`an dan hadith.
Jika dipisahkan al-Kitab dari al-Sunnah nescaya ia memerlukan kepada penjelasan.Justeru jaminan kepada yang diterangkan (al-Qur`an), sekaligus jaminan juga kepada yang menerangkan (hadith). Tanpa hadith sudah tentu banyak hukum-hukum al-Qur`an tidak dapat dijelaskan.

10. Hadith diragui ketulinan kerana tidak ditulis di zaman Nabi s.a.w..

Golongan yang mempertikaikan sunnah Rasulullah s.a.w. menjadikan tiadanya penulisan hadith semasa hayat Rasulullah s.a.w. sebagai alasan untuk menolak kehujahannya. Sedangkan penulisan itu bukanlah syarat bagi kehujahan sesuatu. Yang penting ianya diriwayatkan oleh mereka yang adil dan dipercayai.
Apakah alasan yang boleh diberikan oleh golongan ini jika ada yang mempertikaikan kehujahan al-Qur`an kerana ia juga tidak diturunkan oleh Allah dalam keadaan bertulis? Apakah mereka tidak sedar yang hadith Nabi s.a.w. telah ditulis semasa hayat baginda dan dengan perintahnya pula. Larangan yang terdapat pada hadith Abu Said al-Khudri itu hanyalah diperingkat permulaan Islam sahaja.
Isu ini telah diulas panjang lebar oleh Dr Mustafa al-Siba`iy dalam al-Sunnah wa Makanatuha, Dr Al-A`zami dalam Dirasat fi al-Hadith al-Nabawi, Dr. Muhammad Abu Shahbah dalam Difa` an al-Sunnah, Dr.Rif`at Fauzi dalam Tawthiq al-Sunnah fi al-Qarn al-Thani al-Hijri dan lain-lain. Malah hadith-hadith larangan penulisan hadith dan hadith berkaitan keharusan penulisan hadith, malah perintah menulis hadith telah dimuatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-Ilm.
Ekoran dari alasan penulisan ini, dipanjangkan dengan isu-isu lain antaranya tindakan setengah sahabat membakar hadith yang mereka tulis, walaupun kekuatan riwayat ini sukar dipertahankan. Malah Umar pula dikatakan menahan sahabat yang banyak meriwayatkan hadith. Dikatakan beliau menahan Ibn Mas`ud, Abu Darda` dan Abu Zar. Riwayat ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Malah Ibn Mas`ud adalah sahabat yang mempunyai kedudukannya yang tersendiri dihati `Umar. Tidak diketahui pula yang Abu Darda` dan Abu Zar banyak meriwayatkan hadith jika dibandingkan dengan Abu Hurayrah. Kenapa tidak ditahan sahaja Abu Hurayrah kerana beliau banyak meriwayatkan hadith!!

11. Hadith Ahad tidak boleh dijadikan hujjah.

Inilah yang dikira alasan yang banyak digunakan oleh pengkritik Hadith Nabi s.a.w. kerana hadith mutawatir sahaja yang layak dijadikan hujjah kerana ia diriwayat oleh ramai perawi. Lalu diperturunkan bukti dimana Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan makluman yang disampaikan oleh Zi al-Yadyn yang baginda hanya bersolat dua rekaat sahaja untuk solat Isya` sehinggalah dimaklumkan oleh Abu Bakr dan `Umar lalu baginda menyempurnakan bilangan rekaatnya dan sujud Sahwi.
Abu Bakr juga tidak memadai kenyataan dari al-Mughirah sehingga dikuatkan oleh Muhammad bin Maslamah dalam kes hak seorang nenek dari harta pusaka peninggalan cucunya. Isu yang telah lama dibincangkan oleh para ulama Islam. Hujjah syarak tidak terbatas kepada khabar mutawatir sahaja. Khabar ahad tetap menjadi hujjah walaupun dalam urusan akidah dan perkara pokok yang lain, asal sahaja perawinya memenuhi syarat hadith-hadith yang sahih.

Kalaulah khabar mutawatir sahaja diterima sebagai hujjah sudah tentu Rasulullah s.a.w. dalam urusan penting akan mengirim ramai para sahabatnya untuk melasanakan perkara tersebut, namun perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Baginda s.a.w.. Tindakan Abu Bakr yang mahukan pengesahan dari seorang lagi sebagai saksi apabila dimaklumkan kepadanya hadith Nabi s.a.w. menunjukkan beliau begitu bercermat dalam menerima riwayat, bukannya menolak kehujahan hadith ahad. Ini termasuk dalam metode salaf al-salih dalam menerima hadith. Beliau tidak bersendirian dalam perkara tersebut.

12. Tiada keseragaman di kalangan ulama hadith dalam menilai perawi-perawi hadith.

Para ulama hadith begitu mantap dalam menetapkan kaedah dalam ta`dil dan tajrih. Semuanya bukan mengikut nafsu tetapi lahir dari tanggungjawab agama. Tidak sedikit dari kalangan mereka menyebut: “Sesungguhnya ilmu ini adalah al-din, justeru telitikanlah dari siapa kamu mengambil urusan agamamu”.
Ilmu al-jarh wa al-ta`dil yang diasaskan semata-mata untuk memelihara institusi terpenting ini dengan mengenalpasti siapa yang meriwayatkannya? Bagaimana latar belakangnya? Apakah formula yang diikuti jika ada percanggahan dalam penilaian? Imam al-Dhahabi sebagai tokoh besar ilmu ini pernah berkata: Tidak akan berhimpun dua orang ulama dalam bidang ini yang menthiqahkan perawi yang da`if, dan menda`ifkan perawi yang thiqah.
Para ulama tidak akan mentarjihkan seseorang perawi hadith tanpa sebab. Perselisihan hanya berlaku dalam menilai perawi yang tidak terkenal akan keadilannya atau kelemahannya. Kesimpulannya mereka menyatakan hakikat sebenar bagi seseorang perawi itu. Pengkritik hadith mempertikai individu tertentu yang begitu menonjol peranannya dalam periwayatan hadith, seperti Abu Hurayrah r.a, Ibn Syihab dengan memberikan alasan yang rapuh.

13. Hadith banyak memuatkan kesilapan fakta dan bercanggah antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w. telah menjalankan tugas sebagai Rasul selama 22 tahun. Bermula dengan asas-asas Islam sehinggalah risalahnya lengkap dan sempurna. Risalah yang diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh tersebut sudah s.a.w. itu ada perkara yang tidak selari dan bercanggah antara satu dengan yang lain.
Namun wujudnya percanggahan bukanlah alasan untuk menolak hadith dan mengabaikannya begitu sahaja. Para muhaddithin telah mengariskan kaedah yang kemas untuk menserasikannya. Dalamilah ilmu nasikh mansukh dan mukhtalaf al-hadith, sudah tentu ada penyelesaiannya. Bagi hadith yang dikatakan tersilap fakta, tidak logik dan berbagai lagi label yang diberikan oleh para pengkritik.
Sewajarnya telitilah apakah ia berbentuk peryataan simbolik atau realiti. Memahami hadith secara literal akan mengundang masalah, apalagi bagi mereka yang tidak mendapat pendedahan yang menyeluruh mengenai hadith dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.

14. Hadith penghalang kemajuan.

Adalah tidak adil untuk menyalahkan hadith justeru kemunduran dan masalah yang dialami oleh umat Islam hari ini. Hadith inilah yang menjadi panduan dan pengangan mereka semasa mereka berada di puncak ketamadunan dahulu. Semaklah semula sejauhmana kefahaman mereka terhadap hadith sehingga ia layak dijadikan penyebab kepada kemunduran.
Kalaulah kemunduran dan perpecahan umat Islam kerana masing-masing berpegang dengan hadith yang selari dengan ideologi masing-masing.

Sejarah membuktikan perpecahan bukan kerana hadith tetapi kerana perbedaan pandangan dalam urusan perlantikan khalifah. Perbedaan pandangan antara mereka dalam perkara cabang dalam ibadat tidak menghalang mereka dari beribadat. Berbeda dengan kumpulan anti hadith yang tiada panduan untuk beribadat sehingga ada yang berpendapat ibadat haji boleh dilakukan bila-bila sahaja dan tidak terikat dengan bulan-bulan haji sahaja. Siapa yang menjadi sumber perpecahan sebenarnya?

Penutup:

Usaha untuk menyemarakkan Hadith Nabi s.a.w. adalah usaha yang diberkati. Mempelajari, memahami dan seterusnya mengamalkannya menuntut kesabaran dan kegigihan kerana cabaran yang menunggu juga besar.
Suatu usaha yang menyeluruh oleh para ilmuan dan ulama yang berkepakaran dalam bidang hadith khususnya di tanah air kita ini, mereka harus digembelingkan dalam satu pasukan bagi berkhidmat kepada pusaka peninggalan Rasulullah s.a.w. itu di segenap aspek. Umat Islam di segenap peringkat telah melakukan yang terbaik untuk Kitab Allah (al-Qur`an). Tindakan yang serupa juga wajar dilakukan untuk hadith Nabi s.a.w.. Terdapat banyak tempat pengajian al-Qur`an dibangunkan oleh pihak kerajaan dan perseorangan Islam tetapi ia tidak dilakukan untuk hadith. Sudah sampai masanya Akademi Hadith diasaskan khusus untuk berkhidmat untuk Hadith Nabi s.a.w..

Tiada ulasan: